TOKYO, 1 OGOS – Taufan kuat yang melanda selatan Jepun hari ini menyebabkan ratusan penerbangan terpaksa dibatalkan, dengan pihak berkuasa menggesa ratusan ribu orang mencari perlindungan.
Taufan Khanun membawa kelajuan angin maksimum 180 kilometer sejam ketika melintasi Lautan Pasifik menuju ke wilayah Okinawa.
Agensi Meteorologi Jepun berkata, ribut itu, yang disifatkannya sebagai ‘sangat kuat,’ berada kira-kira 170 kilometer di tenggara ibu kota wilayah Naha pada 6 pagi waktu tempatan.
Pusat taufan itu dijangka melepasi Okinawa malam ini atau awal esok sebelum bergerak ke timur China menjelang akhir minggu ini.
Lebih 760,000 penduduk bandar di seluruh Okinawa diarahkan supaya meninggalkan rumah mereka kerana agensi cuaca memberi amaran mengenai ombak setinggi 12 meter yang mungkin melanda kepulauan itu.
Taufan itu dijangka membawa angin kencang dan hujan lebat.
“Ramai orang kekal dalam rumah kerana rumah mereka diperbuat daripada konkrit,” kata seorang pegawai pengurusan bencana di kerajaan wilayah Okinawa kepada AFP.
“Tetapi kami meminta orang yang tinggal seorang diri atau di rumah kayu di kawasan rendah untuk mempertimbangkan mencari perlindungan sebelum taufan menjadi teruk,” tambahnya.
Lebih 500 penerbangan dibatalkan hari ini, manakala perkhidmatan feri dan bas di peringkat wilayah juga dihentikan menjelang taufan, lapor penyiar nasional, NHK. – AFP
