MIAMI, 5 SEPT – Taufan Lorena semakin lemah dan menjadi ribut tropika semalam, namun peramal cuaca memberi amaran bahawa risiko banjir kilat dan tanah runtuh yang mengancam nyawa masih wujud di beberapa kawasan di Semenanjung Baja California, Mexico.
Ribut Tropika Lorena mencatatkan kelajuan angin maksimum berterusan 72 kilometer sejam, menurut Pusat Taufan Kebangsaan AS.
Ribut itu berada kira-kira 280 kilometer ke barat Cabo San Lazaro, Mexico dan bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 8kmsj.
Lorena dijangka terus melemah tetapi masih berpotensi membawa hujan terpencil sehingga 38 sentimeter di beberapa bahagian negeri Mexico iaitu Baja California Sur, Baja California dan Sonora.
Di Arizona dan New Mexico, pusat kaji cuaca berkata hujan lebat sehingga 10 sentimeter berkemungkinan berlaku dan boleh menyebabkan banjir kilat terpencil sehingga Sabtu.
Sementara itu, Taufan Kiko telah melemah kepada ribut Kategori 3 pada Skala Angin Taufan Saffir-Simpson dengan kelajuan angin maksimum berterusan sekitar 201 kilometer sejam dan ia berada kira-kira 2,188 kilometer ke timur-tenggara Hilo, Hawaii, dan bergerak ke arah barat pada kelajuan 14 kilometer sejam, menurut pusat taufan
Peramal cuaca turut menyatakan, Kiko boleh kembali menguat semula kelmarin hingga hari ini, sebelum perlahan-lahan melemah menjelang hujung minggu.
Tambah mereka, terdapat risiko Hawaii akan terjejas oleh Kiko pada minggu hadapan.
Namun, masih terlalu awal untuk menentukan lokasi atau tahap kesannya, sambil menggesa orang ramai memantau perkembangan taufan tersebut.
Setakat kelmarin, tiada amaran dikeluarkan berkaitan Kiko. Bagaimanapun, ombak besar yang dihasilkan oleh taufan itu dijangka mula melanda Kepulauan Hawaii menjelang hujung minggu, menurut peramal cuaca. – AFP


