Thursday, December 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Man-yi badai Filipina

    MANILA, 17 NOV – Taufan kuat Man-yi membadai pulau paling padat penduduk di Filipina hari ini, dengan perkhidmatan cuaca negara mengeluarkan amaran tentang risiko banjir, tanah runtuh dan ombak besar ketika ribut tersebut melanda negara itu.

    Man-yi masih membawa angin kencang dengan kelajuan maksimum 185 kilometer sejam selepas mendarat pertama kali lewat semalam di pulau Catanduanes yang kurang padat penduduknya.

    Lebih daripada 1.2 juta orang melarikan diri dari kediaman mereka sebelum ketibaan Man-yi, dengan ramalan cuaca memberi amaran tentang impak mengancam nyawa akibat taufan yang kuat itu, yang datang selepas beberapa siri cuaca buruk melampau.

    Man-yi menumbangkan pokok, merosakkan talian elektrik, dan memusnahkan rumah-rumah rapuh selepas melanda Catanduanes di wilayah Bicol yang sering dilanda taufan.

    Tiada kematian dilaporkan, namun terdapat kerosakan yang meluas pada struktur bangunan di Catanduanes, kata ketua pertahanan awam Ariel Nepomuceno.

    Seorang penduduk berdiri di sebelah rumah yang rosak akibat Taufan Man-yi di Viga, wilayah Catanduanes, timur laut Filipina, kelmarin. – AP

    Man-yi kekal sebagai taufan kuat ketika melanda Luzon yang berpenduduk padat, kata peramal cuaca, mengingatkan tentang situasi yang berpotensi mendatangkan risiko di wilayah Aurora.

    Taufan Man-yi dijangka bertambah lemah ketika ia melintasi pulau bergunung-ganang itu, menurut perkhidmatan cuaca.

    Namun, ia memberikan amaran bahawa banjir teruk dan tanah runtuh dijangka berlaku apabila Man-yi membawa hujan lebat di sepanjang laluan yang dilaluinya.

    Pakar kaji cuaca juga memberi amaran bahawa ombak taufan setinggi lebih tiga meter boleh melanda komuniti pesisir yang terdedah, termasuk di Manila.

    Kawasan Panganiban di timur laut Catanduanes menerima kesan hebat dari Man-yi.

    Gambar dan video dron yang dikongsi di laman Facebook Datuk Bandar Cesar Robles menunjukkan talian elektrik yang tumbang, bangunan yang rosak dan musnah, serta pokok-pokok dan kepingan besi yang berselerak di jalan raya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda