MANILA, 15 NOV – Ratusan orang melarikan diri hari ini apabila Taufan Man-Yi melanda Filipina, mengancam untuk membawa lebih banyak kemusnahan ketika pasukan penyelamat berusaha untuk sampai ke penduduk yang terperangkap di atas bumbung akibat taufan tropika yang lalu.
Lima taufan besar telah melanda negara kepulauan itu dalam tempoh tiga minggu lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 163 nyawa dan mendorong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meminta bantuan sebanyak AS$32.9 juta untuk kawasan yang paling terjejas.
Taufan Usagi melanda bahagian utara negara itu kelmarin dan pasukan penyelamat hari ini masih berusaha mencapai penduduk yang terperangkap di atas bumbung di pulau Luzon utara, di mana haiwan ternakan terbunuh.
Sementara itu, pihak berkuasa mula memindah ratusan orang dari pulau Catanduanes, yang dijangka menjadi pulau pertama yang dilanda secara langsung oleh taufan Man-Yi pada Sabtu, menurut perkhidmatan cuaca.
“Kami menjangka ribuan lagi akan dipindah dalam beberapa jam sebelum Man-Yi mendarat,” kata Roberto Monterola, ketua operasi pejabat pertahanan awamCatanduanes kepada AFP.
“Kami tidak mempunyai pusat pemindahan yang cukup, jadi sebahagian daripada mereka akan berlindung dengan jiran yang memiliki rumah yang diperbuat daripada bahan yang lebih kuat.” – AFP