LOS ANGELES, 24 MEI – Taufan Mawar membadai wilayah Amerika Syarikat (AS), Guam hari ini, membawa angin kencang ke pos tentera Pasifik.
Mata ribut melintas di utara pulau itu, kata gabenor, selepas ahli kaji cuaca memberi amaran bahawa angin sehingga 225 kilometer sejam boleh mencetuskan kerosakan besar.
“Apa yang kami rasakan sekarang ialah pusat ribut sedang menuju ke Selat Rota,” kata Gabenor Lou Leon Guerrero dalam video Facebook, merujuk kepada badan air antara pulau Guam dan Rota.
Pihak berkuasa tempatan sebelum ini mengeluarkan arahan pemindahan dan membuka tempat perlindungan sementara, manakala Presiden AS, Joe Biden mengisytiharkan darurat untuk pulau yang mempunyai 170,000 penduduk itu, membuka jalan bagi bantuan persekutuan.
“Saya berada di dalam rumah konkrit dan tingkap saya tertutup. Saya keluar sekejap dan angin menjadi amat kencang dengan hujan sekejap-sekejap,” beritahu Beckie Merrill, seorang guru sekolah menengah berusia 46 tahun, kepada AFP dari kawasan selatan pulau itu.
Amaran angin melampau dan banjir kilat telah dikeluarkan untuk pulau itu dengan kelajuan angin 74 batu sejam telah direkodkan, kata ahli kaji cuaca.
Pemindahan telah dikeluarkan untuk penduduk kawasan pantai rendah, terutamanya di perkampungan selatan yang sering dilanda banjir.
Kira-kira 60 penerbangan yang dijadualkan berlepas atau tiba di Guam antara Selasa dan Khamis telah dibatalkan, kata Lapangan Terbang Antarabangsa AB Won Pat. – AFP