Saturday, December 28, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Mawar pengaruhi cuaca Brunei

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Negara Brunei Darussalam sekarang berada di penghujung fasa peralihan monsun, di mana kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara ini.

    Brunei dijangka akan beralih daripada fasa peralihan monsun ke monsun barat daya sekitar minggu terakhir bulan Mei ini.

    Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini mengongsikan Taufan Mawar diramalkan bergerak ke arah barat laut pada minggu ini, yang mana ia dijangka akan mempengaruhi cuaca di negara ini dan akan menyebabkan keadaan cuaca menjadi aktif dan tidak menentu mulai hari ini sehingga 27 Mei.

    Hujan atau hujan berpetir berserta angin kencang sekali-sekala dijangka berlaku dengan kelajuan angin kencang boleh meningkat sehingga 50kmsj di kawasan darat dan sehingga 60kmsj di kawasan laut semasa atau dekat hujan lebat melintas.

    Manakala di perairan Brunei pula, keadaan laut pada amnya berombak sedikit antara paras 0.4m ke 1m.

    Ramalan lokasi dan trek Taufan Mawar. – Gambar serahan BDMD

    Sehubungan itu, BDMD turut menasihatkan kepada orang ramai supaya mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.

    Terdapat risiko tinggi berlaku pokok tumbang dan kemungkinan kejadian tanah susur semasa keadaan berangin dan hujan lebat.

    Risiko banjir kilat juga boleh berlaku terutama di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Orang ramai, pemandu di jalan raya dan juga pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit, Brunei WX, di mana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda