Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Melissa badai Jamaica

    KINGSTON, 29 OKT – Taufan Melissa memusnahkan pokok-pokok dan memutuskan bekalan elektrik selepas melanda Jamaica kelmarin, menjadikannya antara taufan paling kuat pernah direkodkan, sambil membadai negara pulau itu dengan hujan lebat yang berisiko menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh.

    Ribut kuat itu melanda Jamaica dengan angin kencang berterusan berkelajuan 185 batu sejam (300 kilometer sejam) dalam laluannya yang membawa maut merentasi Caribbean.

    “Ini adalah situasi yang sangat berbahaya dan mengancam nyawa!” kata Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat, yang menggesa penduduk agar berlindung di tempat selamat dan menjauhkan diri daripada tingkap, termasuk semasa tempoh tenang seketika apabila mata ribut melintasi kawasan mereka.

    Walaupun kelajuan angin menurun kepada 150 batu sejam, Melissa terus membawa hujan lebat dan menyebabkan kemusnahan yang mungkin mengambil masa beberapa hari untuk dinilai, memandangkan rangkaian komunikasi masih terputus di banyak kawasan.

    Gabungan aliran air laut dan taburan hujan, yang dianggarkan dalam ukuran kaki, berpotensi mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh di pulau dengan populasi 2.8 juta itu.

    Seorang lelaki memerhati sebatang pokok tumbang di St. Catherine, Jamaica, pada 28 Oktober. – AFP

    Taufan tersebut merupakan yang terburuk pernah melanda Jamaica, dengan kelajuan angin maksimum yang melebihi kebanyakan ribut taufan paling kuat dalam sejarah moden, termasuk Katrina pada tahun 2005 yang memusnahkan bandar New Orleans di Amerika Syarikat.

    Sebelum Melissa mendarat di Jamaica, tujuh kematian telah direkodkan iaitu tiga di Jamaica, tiga di Haiti dan satu di Republik Dominican akibat keadaan cuaca yang semakin buruk.

    Melissa, yang kini diturunkan dari Kategori 5 kepada Kategori 4 selepas pusatnya bergerak meninggalkan Jamaica, dijangka akan membadai Cuba sebelum menuju ke Bahamas.

    Menteri Perubahan Iklim Jamaica memberitahu CNN bahawa kesan Taufan Melissa membawa ‘malapetaka,’ dengan banyak rumah tenggelam dan ‘infrastruktur awam serta hospital mengalami kerosakan teruk.’

    Lebih membimbangkan, pihak berkuasa kesihatan turut memberi amaran mengenai ancaman buaya yang berpindah akibat banjir besar.

    “Paras air yang meningkat di sungai, longkang dan paya boleh menyebabkan buaya memasuki kawasan kediaman,” kata Pihak Berkuasa Kesihatan Wilayah Tenggara (SERHA) dalam satu kenyataan awam di Instagram.

    Mathue Tapper, 31 tahun, dari Kingston berkata penduduk ibu negara ‘masih bernasib baik’ namun bimbang terhadap nasib rakyat Jamaica di kawasan luar bandar.

    “Hati saya bersama mereka yang tinggal di kawasan barat pulau ini,” katanya.

    Ribut besar itu dijangka meninggalkan kemusnahan setaraf dengan beberapa taufan paling dahsyat dalam sejarah dunia seperti Katrina, Maria atau Harvey. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda