Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Melissa tinggalkan 5 juta tan sisa di barat Jamaica

    HAMILTON, 7 NOV – Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) kelmarin maklumkan hampir 5 juta tan metrik sisa terhasil di seluruh wilayah barat Jamaica selepas Taufan Melissa melanda pulau itu pada 28 Oktober, lapor Anadolu Ajansi.

    “Anggaran awal menunjukkan bahawa kerosakan yang berlaku adalah bersamaan kira-kira 30 peratus daripada KDNK Jamaica, angka yang dijangka meningkat,” kata Wakil Tetap UNDP bagi Bahamas, Belize, Bermuda, Kepulauan Cayman, Jamaica serta Kepulauan Turks dan Caicos, Kishan Khoday, dalam taklimat maya.

    Beliau menambah bahawa, “taufan dahsyat itu meninggalkan kesan kemusnahan besar di seluruh wilayah barat dan tengah Jamaica.”

    Khoday menjelaskan bahawa, “UNDP melalui platform Penilaian Impak digital dan alat berasaskan AI telah mengenal pasti hampir 5 juta tan metrik sisa yang dihasilkan di seluruh barat Jamaica. Jumlah ini bersamaan kira-kira 500,000 muatan lori standard.”

    “Untuk memberikan gambaran tentang skala kemusnahan itu, ia termasuk 2 juta tan metrik sisa binaan daripada bangunan yang rosak, 1.3 juta tan sisa tumbuh-tumbuhan, kemusnahan hutan dan landskap yang amat besar di barat Jamaica, serta 1.4 juta tan metrik sisa harta peribadi,” tambahnya.

    Beliau berkata usaha UNDP akan menumpukan kepada, “pelan dan strategi pemulihan, pemulihan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sumber pendapatan, penggunaan tenaga solar bagi keperluan komuniti, kerja-kerja pembersihan sisa dan pemulihan ekosistem.”

    Taufan Melissa telah melanda Haiti, Jamaica dan Cuba sejak akhir Oktober, menyebabkan kemusnahan meluas serta kehilangan nyawa. Menurut laporan tempatan, jumlah kematian di Haiti dan Jamaica akibat banjir dan tanah runtuh yang disebabkan oleh Taufan Melissa meningkat kepada 75 orang setakat Rabu.

    Di Cuba, PBB menganggarkan kira-kira 2.2 juta orang terjejas (data tidak rasmi) dengan kerosakan dilaporkan membabitkan kira-kira 60,000 rumah, 461 pusat kesihatan dan 1,552 sekolah. – Bernama/Anadolu 

    Suasana bangunan yang rosak akibat Taufan Melissa di Savanna-la-Mar, Westmoreland, Jamaica, pada 31 Oktober. – AFP
    Sebuah bangunan musnah, yang digunakan sebagai tempat perlindungan semasa Taufan Melissa, pada 31 Oktober. – AFP
    Seorang penduduk memeriksa harta benda yang rosak selepas dilanda Taufan Melissa di komuniti Cave di Westmoreland, Jamaica, pada 31 Oktober. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda