NEW DELHI, 28 OKT – Pihak berkuasa India menutup sekolah serta memindahkan puluhan ribu penduduk dari kawasan pinggir laut ketika wilayah timur negara itu bersiap sedia menghadapi impak Taufan Montha lewat hari ini.
Taufan Montha yang sedang berpusar di Teluk Benggala telah meningkat menjadi ribut siklon yang kuat dan dijangka membadai daratan berhampiran bandar pelabuhan Kakinada di selatan Andhra Pradesh lewat malam ini, menurut jabatan kaji cuaca dalam buletin terbaharunya.
Ribut itu kini berada kira-kira 160 kilometer tenggara Machilipatnam, Andhra Pradesh dan dijangka terus meningkat dengan kelajuan angin antara 90 hingga 110 kilometer sejam ketika ia menuju ke pesisir timur negara itu.
Jabatan kaji cuaca mengeluarkan amaran merah, tahap amaran cuaca tertinggi, bagi 19 daerah di Andhra Pradesh, dengan ramalan hujan lebat. Negeri jiran seperti Tamil Nadu, Telangana, Kerala dan Karnataka juga dijangka mengalami hujan sederhana hingga lebat.
Pasukan pengurusan bencana di Andhra Pradesh setakat ini telah memindahkan 38,000 penduduk dari kawasan rendah ke pusat pemindahan, menurut pegawai bencana negeri.
Kerajaan negeri menganggarkan sekitar empat juta orang berada di zon berisiko dan mungkin terjejas akibat taufan tersebut.
Pihak berkuasa telah menyediakan 1,906 pusat pemindahan dan 364 sekolah sebagai tempat perlindungan sementara, manakala proses pemindahan masih diteruskan di 1,238 kampung berisiko, kata Menteri Komunikasi negeri, Nara Lokesh dalam satu hantaran di media sosial.
Sekolah dan kolej telah diarahkan tutup sehingga esok, manakala nelayan diberi amaran agar tidak keluar ke laut. Perkhidmatan kereta api dan penerbangan turut mengalami sebahagian gangguan hari ini.
Di negeri Odisha, pihak pentadbiran turut memindahkan sekitar 32,000 penduduk dari kawasan berisiko ke pusat pemindahan, menurut pegawai bencana negeri. – AP


