Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Taufan Noru mengganas di seluruh Vietnam

    DANANG, VIETNAM, 28 SEPT – Taufan Noru menerbangkan atap dari rumah dan menyebabkan bekalan tenaga terputus di seluruh tengah Vietnam hari ini, dengan ratusan ribu orang penduduk mencari perlindungan selepas ribut ganas itu meragut sekurang-kurangnya 10 jiwa di Filipina.

    Di Danang, bandar ketiga terbesar di Vietnam, bangunan-bangunan tinggi bergegar ketika taufan membadai awal pagi ini, membawa angin kencang selaju 120 kilometer sejam (kmsj), menurut agensi ramalan cuaca kebangsaan.

    Sementara itu, lebih 300,000 orang penduduk Vietnam segera berlindung di pusat perlindungan semalaman, selepas agensi ramalan cuaca memberi amaran taufan berkenaan dijangkakan antara yang terbesar melanda negara itu.

    Kelajuan angin didapati lebih perlahan daripada jangkaan awal, namun agensi ramalan cuaca berkata hujan lebat akan berterusan dan memberi amaran mengenai tanah susur dan banjir serius.

    Kementerian pertahanan telah menggerakkan kira-kira 40,000 orang anggota tentera dan 200,000 tentera awam, dilengkapi dengan kenderaan berperisai dan bot sebagai persediaan untuk operasi menyelamat dan bantuan, menurut media negara.

    Manakala di bandar tumpuan pelancong di Hoi An, tebing Sungai Hoai hampir pecah, manakala atap rumah dan pokok tumbang telah merosakkan kereta dan jalan raya.

    “Taufan semalam sangat dahsyat. Saya tidak dapat tidur kerana angin sangat kuat dan nyaring,” kata seorang penduduk, Nguyen Thi Hien kepada AFP.

    Kira-kira 300 buah rumah di wilayah Quang Tri dilaporkan mengalami kerosakan dengan bumbung tercabut diterbangkan angin, lewat malam tadi.

    Hampir separuh lapangan terbang di Vietnam ditutup sejak tengah hari kelmarin, dengan sekolah-sekolah serta pejabat-pejabat di beberapa buah wilayah di bahagian tengah turut ditutup, sementara di Danang, orang ramai dilarang keluar rumah. – AFP

    Seorang penduduk berjalan di sepanjang pantai ketika Taufan Noru menghampiri Danang di tengah Vietnam. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...