Wednesday, October 23, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Oscar badai Cuba, 6 maut

    HAVANA, 22 OKT – Taufan Oscar meninggalkan enam orang terbunuh selepas melanda Cuba pada hujung minggu lalu semasa negara mengalami bekalan elektrik terputus, kata pihak berkuasa kelmarin, ketika bekalan elektrik berjaya dipulihkan di kebanyakan kawasan di ibu negara.

    Bekalan elektrik terputus untuk 10 juta penduduk negara yang diperintah oleh Komunis itu pada Jumaat selepas kerosakan loji janakuasa terbesar negara itu melumpuhkan keseluruhan bekalan elektrik.

    Menjelang petang Isnin, hampir 90 peratus pelanggan di Havana – tempat tinggal kira-kira dua juta penduduk – telah memperoleh semula bekalan elektrik, menurut laporan yang diterbitkan oleh portal berita yang dikendalikan oleh kerajaan, Cubadebate.

    “Sudah tentu saya gembira!” kata Olga Gomez, suri rumahtangga berusia 59 tahun di Havana, selepas lampu dinyalakan semula.

    “Saya mempunyai seorang ibu yang sudah tua dan nyanyuk berusia 85 tahun serta seorang anak lelaki autisme. Ia sangat sukar apabila tiada bekalan elektrik,” katanya kepada AFP.

    Sebatang jalan diterangi lampu kereta semasa malam ketiga bekalan elektrik terputus di seluruh negara di Havana pada 20 Oktober. – AFP

    Namun, ramai penduduk di luar Havana masih mengalami bekalan elektrik terputus, menurut pihak berkuasa.

    Cuba masih dalam kegelapan pada Ahad apabila Taufan Oscar mendarat di kawasan timur negara itu sebagai ribut Kategori 1, menyebabkan beberapa kematian dan kerosakan.

    “Malangnya, menurut maklumat awal, enam nyawa telah terkorban,” kata Presiden Miguel Diaz-Canel dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.

    Taufan itu menyebabkan kerosakan teruk di wilayah timur Guantanamo, katanya.

    Oscar menjadi lemah kepada ribut tropika apabila ia bergerak ke pedalaman tetapi masih dijangka membawa ‘banjir kilat yang besar dan mengancam nyawa bersama dengan runtuhan tanah,’ Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) memberikan amaran. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda