Monday, October 21, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Oscar landa Cuba

    HAVANA, 21 OKT – Taufan Oscar melanda Cuba pada petang kelmarin, ketika kebanyakan penduduk negara itu mengalami gangguan bekalan elektrik yang berlarutan lebih 50 jam, lapor agensi berita Jerman, dpa.

    Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat melaporkan bahawa taufan terbabit melanda pantai timur laut Cuba sebagai taufan Kategori Satu, dengan Bahamas turut merasai kesannya.

    Gangguan bekalan elektrik di Cuba bermula pada pagi Jumaat, apabila grid kuasa negara yang sudah usang mengalami kegagalan, menyebabkan hampir seluruh negara terputus bekalan elektrik.

    Walaupun bekalan elektrik di beberapa kawasan di Havana pulih pada petang Sabtu, bekalan terputus semula hanya selepas enam jam.

    Menteri Tenaga Cuba, Vicente de la O Levi, menyatakan bahawa usaha sedang dijalankan untuk memulihkan bekalan elektrik secara berperingkat menjelang esok.

    Namun, keadaan kekal mencabar susulan angin kencang menjejaskan beberapa loji janakuasa, memaksa pihak berkuasa untuk menghidupkan semula grid beberapa kali.

    Walaupun negara seperti Colombia, Mexico, Venezuela, Rusia dan Barbados menawarkan bantuan, tiada sebarang bantuan yang tiba setakat ini.

    Kerajaan Cuba menggantung semua tugas pentadbiran yang tidak penting susulan taufan itu. – Bernama

    Penduduk memasak sup di luar rumah semasa ketiadaan bekalan elektrik berikuan kegagalan loji janakuasa utama di Havana, Cuba pada 19 Oktober. Taufan Oscar melanda Cuba. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda