TAIPEI, 12 OGOS – Kira-kira 2,000 orang di Taiwan dipindahkan daripada kediaman mereka hari ini apabila Taufan Podul dijangka menghampiri kawasan pulau tersebut, dengan kawasan tengah dan selatan yang baru sahaja dilanda ribut turut berisiko terjejas sekali lagi, menurut pihak berkuasa.
Taufan tersebut dijangka mendarat di sepanjang pantai tenggara yang kurang penduduk pada hari Rabu sebelum melintasi pulau tersebut dan menuju ke Selat Taiwan, menurut Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA).
Menurut agensi itu lagi, kelajuan angin purata taufan boleh mencecah sehingga 133 kilometer sejam, dengan angin ribut sehingga 166 km/j.
Seramai 31,000 anggota tentera turut bersiap sedia untuk membantu persiapan taufan serta usaha menyelamat dan bantuan, menurut Kementerian Pertahanan negara tersebut.
Syarikat penerbangan tempatan Uni Air dan Mandarin Airlines memaklumkan mereka telah membatalkan semua penerbangan domestik untuk hari Rabu.

Antara kawasan yang paling terjejas adalah daerah timur Hualien dan Taitung, daerah tengah Chiayi, kawasan selatan serta pulau-pulau luar Kinmen, kata seorang peramal cuaca, Chu Mei-lin.
Kira-kira 700 orang akan dipindahkan dari rumah mereka di Hualien dan terdapat rancangan untuk memindahkan sekitar 1,100 orang dari kawasan pergunungan di bandar selatan Kaohsiung, menurut pegawai kerajaan.
Kaohsiung dan daerah jiran Pingtung mungkin akan dilanda hujan terkumpul sebanyak 400-600 milimeter bermula hari ini hingga Khamis, kata seorang lagi peramal cuaca dan kawasan lain mungkin akan menerima hujan melebihi 350 mm.
Sebahagian besar kawasan tengah dan selatan Taiwan masih dalam proses pemulihan selepas terjejas oleh Taufan Danas dan hujan lebat beberapa minggu lalu.
Taufan Danas, yang melanda Taiwan pada awal Julai, telah mengorbankan dua nyawa dan mencederakan beratus-ratus orang apabila ribut tersebut membawa lebih 500 mm hujan di selatan dalam tempoh hujung minggu.
Ia diikuti dengan hujan lebat dari 28 Julai hingga 4 Ogos, dengan beberapa kawasan merekodkan jumlah hujan melebihi 2.1 meter untuk tahun 2024 di Taiwan.
Cuaca buruk selama seminggu itu mengakibatkan lima kematian, tiga hilang dan 78 cedera, menurut seorang pegawai bencana sebelum ini. – AFP

