MOSCOW, 30 JULAI – Lapan orang termasuk tiga kanak-kanak damit maut di Rusia apabila pokok tumbang di tapak perkhemahan di tepi tasik semasa ribut yang disifatkan sebagai ‘taufan’, kata pihak berkuasa hari ini.
Beberapa ratus orang berkhemah di taman negara di Mari El, wilayah Rusia yang terletak di sepanjang tebing utara Sungai Volga, ketika ribut melanda kelmarin.
Jawatankuasa Penyiasatan, yang menyiasat jenayah serius, berkata dalam satu kenyataan bahawa mayat tujuh orang termasuk tiga kanak-kanak damit ditemui selepas apa yang dipanggil ‘taufan’, setelah serpihan dibersihkan di tapak perkhemahan sepanjang malam.
Seorang lagi meninggal dunia di hospital, kata kenyataan itu.
Dalam satu kenyataan berasingan, kementerian kecemasan berkata 29 orang cedera dan 16 lagi dimasukkan ke hospital.
“Pelawat tidak mengambil kira ramalan kaji cuaca,” kata kementerian itu di aplikasi Telegram.
Tapak perkhemahan itu terletak di tepi Tasik Yalchik di taman negara Mari Chodra dan Jawatankuasa Penyiasatan berkata siasatan jenayah telah dilancarkan berhubung penyediaan perkhidmatan yang tidak memenuhi syarat-syarat keselamatan.
Secara keseluruhan, 10 orang maut dan 76 cedera di daerah persekutuan Privolzhsk yang merangkumi wilayah Mari El, kata kementerian kecemasan. – AFP