TOKYO, 27 OGOS – Taufan kuat yang melanda kawasan kepulauan Amami di barat daya Jepun pada hari ini dijangka menuju ke arah barat negara itu dalam beberapa hari akan datang dan mungkin mendarat, menurut agensi cuaca Jepun.
Taufan tersebut telah menyebabkan gangguan pada perkhidmatan kereta api laju dan kemungkinan pembatalan selanjutnya, lapor agensi berita Kyodo.
Menurut Kyodo, Taufan Shanshan yang bergerak perlahan boleh menyebabkan gangguan berpanjangan dengan Agensi Meteorologi Jepun meramalkan hujan lebat di kawasan yang luas, termasuk Amami dan pantai Pasifik di barat dan timur Jepun.
Agensi itu menggesa penduduk supaya berwaspada terhadap kejadian tanah runtuh, banjir di kawasan rendah dan limpahan air sungai.
Menurut agensi itu, kepulauan Amami dan beberapa bahagian di barat Jepun juga dijangka mengalami angin kencang. – Bernama
