Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Shanshan hampiri Jepun, ribuan diarah berpindah

    TOKYO, 28 OGOS – Jepun bersiap sedia menghadapi taufan paling kuat tahun ini, dengan pihak berkuasa menasihatkan berpuluh-puluh ribu orang supaya berpindah dan mengeluarkan amaran tertinggi untuk angin dan ribut di pulau utama selatan Kyushu.

    “Taufan Shanshan dijangka menghampiri selatan Kyushu dengan kekuatan yang luar biasa sehingga Khamis dan ia mungkin mendarat,” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi kepada pemberita.

    “Angin kencang, ombak tinggi dan gelombang ribut pada paras yang tidak pernah dialami oleh ramai orang sebelum ini mungkin berlaku,” kata Hayashi, jurucakap tertinggi kerajaan.

    Ribut yang menghampiri itu, membawa angin ribut pada kelajuan 252 kilometer sejam dengan hujan lebat melanda Jepun sehingga mendorong syarikat gergasi kereta Toyota menggantung pengeluaran di semua 14 kilangnya.

    Sementara itu, dua orang masih belum ditemui pada hari ini selepas tanah runtuh menimbus sebuah rumah dengan lima ahli keluarga di dalamnya di Gamagori, sebuah bandar di tengah wilayah Aichi.

    Gambar menunjukkan pekerja-pekerja penyelamat di luar rumah yang dilanda tanah runtuh di Gamagori, wilayah Aichi, kelmarin. – AFP

    Pasukan penyelamat bekerja siang dan malam dan petang hari ini mereka berjaya menarik keluar seorang wanita berusia 70an.

    “Dia tidak bernafas dan tidak sedarkan diri,” kata seorang pegawai Gamagori kepada AFP.

    Mereka masih mencari seorang lelaki dalam lingkungan 70an dan seorang lagi dalam lingkungan 30an.

    Di selatan Kyushu, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) meramalkan 1,100 milimeter (43 inci) hujan dalam tempoh 48 jam hingga pagi Jumaat, kira-kira separuh daripada purata tahunan bagi kawasan yang terdiri daripada wilayah Kagoshima dan Miyazaki.

    JMA juga mengeluarkan ‘amaran khas’ tertinggi untuk ribut ganas, ombak dan air pasang besar di bahagian wilayah Kagoshima Kyushu, dengan pihak berkuasa di sana menasihati 56,000 orang untuk berpindah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda