Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Super Ragasa landa Filipina

    MANILA, 22 SEPT – Bandar Shenzhen di China mula bersiap sedia untuk memindahkan 400,000 orang manakala penduduk di utara Filipina mencari perlindungan daripada ribut hari ini ketika Taufan Super Ragasa meneruskan laluan perlanggaran dengan selatan China.

    Taufan itu mendarat di Pulau Calayan Filipina, sebahagian daripada wilayah Babuyan yang mempunyai penduduk yang sedikit, pada jam 3 petang, menurut perkhidmatan cuaca Filipina.

    Setakat 2 petang, angin berkelajuan maksimum 215 kilometer sejam (kmsj) dilaporkan di pusat ribut, dengan tiupan mencecah setinggi 295 kmsj, kata perkhidmatan cuaca negara.

    “Saya terjaga kerana angin kencang. Ia mengenai tingkap dan bunyi seperti mesin yang dihidupkan,” kata Tirso Tugagao, seorang penduduk Aparri, sebuah bandar pantai di wilayah utara Cagayan.

    Ketua bencana Cagayan, Rueli Rapsing berkata kepada AFP pasukannya bersedia untuk berdepan bencana buruk.

    Lebih 10,000 warga Filipina dipindahkan di seluruh negara itu, dengan sekolah dan pejabat kerajaan ditutup hari ini di wilayah Manila dan merentasi 29 wilayah lain.

    Operasi yang lebih besar akan berlaku di Shenzhen China, di mana pihak berkuasa berkata kelmarin mereka merancang untuk memindahkan ratusan ribu orang dari kawasan pantai dan dataran rendah.

    Beberapa bandar lain di wilayah Guangdong mengumumkan kelas dan kerja akan dibatalkan dan pengangkutan awam dihentikan kerana taufan.

    Cathay Pacific yang berpangkalan di Hong Kong berkata, ia menjangka membatalkan lebih 500 penerbangan kerana Ragasa mengancam hab kewangan itu. – AFP

    Gambar menunjukkan ombak kuat membadai Basco, wilayah Batanes, utara Filipina ketika Taufan Ragasa menjejaskan kawasan itu pada 22 September. – AP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda