HONG KONG, 8 SEPT – Sekolah ditutup, penerbangan terganggu dan puluhan ribu orang dipindahkan di selatan China ketika Ribut Tropika Tapah melanda hari ini.
Hab ekonomi wilayah Guangdong dekat Hong Kong terpaksa menghentikan beberapa perkhidmatan kereta api dan feri menjelang ribut, menurut agensi berita rasmi.
Berpuluh-puluh kawasan rekreasi juga terpaksa ditutup dan kira-kira 60,000 orang telah dipindahkan di seluruh wilayah menjelang petang kelmarin, lapor CCTV.

Ribut turut melanda sekitar kawasan pantai bandar Taishan di Guangdong pada kira-kira jam 8:50 pagi waktu tempatan, dengan angin maksimum berterusan dari pusatnya mencecah 30 meter sesaat.
Balai cerap Hong Kong telah menaikkan isyarat ribut ke nombor lapan pada malam kelmarin, yang menunjukkan tahap ketiga tertinggi dalam sistem cuaca di bandar itu.

Pusat berkenaan turut menyatakan taufan Tapah membawa angin berkekalan maksimum berhampiran pusat kira-kira 110 kilometer sejam pada jam 9 pagi.
Hab kewangan itu turut menyaksikan kira-kira 100 penerbangan dibatalkan, dengan beberapa pelancong tidur di atas kerusi kerana menunggu maklumat perjalanan di lapangan terbang.

Sementara itu, dua mangsa tercedera dalam ribut dan dihantar ke hospital untuk rawatan. Kerajaan menerima kira-kira 20 laporan mengenai pokok tumbang di bandar itu, dengan ratusan orang mencari perlindungan di pusat sementara. – AP






