Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Trami badai Jepun

    KAGOSHIMA, Jepun, 30 Sept – Satu taufan kuat bergerak menuju Jepun hari ini selepas mencederakan berpuluh-puluh orang di wilayah selatan, tatkala pegawai cuaca mengingatkan bahawa angin kencang dan hujan lebat mungkin mencetuskan tanah runtuh dan banjir.

    Taufan Trami telah menjejas perjalanan di ekonomi ketiga terbesar dunia itu, dengan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi di barat Jepun digantung, lebih daripada 1,000 penerbangan dibatalkan disebabkan penutupan sebuah lapangan terbang utama dan perkhidmatan kereta api waktu malam di Tokyo dibatalkan.

    Ribut tersebut diramalkan akan melanda negara berhampiran bandar Osaka sejurus selepas 6 petang dan bergerak ke gugusan kepulauan Jepun, kemungkinan melanda kawasan yang masih berpulih daripada cuaca melampau yang telah menyelubungi Jepun dalam beberapa bulan ini.

    Setakat ini seramai 65 orang mengalami cedera ringan, kebanyakannya luka daripada serpihan kaca pecah, dan seorang wanita dilaporkan hilang di wilayah Miyazaki, yang telah mencatatkan rekod turunan hujan lebat dan menyebabkan banjir.

    Menurut media tempatan, wanita itu dalam lingkungan usia 60-an ditiup angin kencang ketika bekerja dengan suaminya di ladang padi.

    Di seluruh negara, pihak berkuasa telah mengeluarkan nasihat pemindahan yang tidak wajib kepada 1.5 juta penduduk, menurut penyiar awam NHK. Hampir 500,000 keluarga di Kyushu dan Okinawa mengalami bekalan elektrik terputus, kata syarikat utiliti tempatan.

    Tatkala taufan bergerak ke timur, pihak berkuasa sistem perkhidmatan kereta api mengambil langkah luar biasa untuk membatalkan perkhidmatan kereta api malam di Tokyo, salah satu rangkaian paling sibuk di dunia, menggesa penduduk supaya mendapatkan perlindungan di dalam rumah apabila ribut melanda.

    Taufan itu tidak dijangka melanda ibu negara tetapi angin kencang dan hujan lebat masih dijangka pada lewat hari ini. Beberapa perniagaan telahpun ditutup.

    Trami ialah taufan terbaharu dalam beberapa siri kejadian alam semula jadi melampau di Jepun, yang telah mengalami taufan, banjir, gempa bumi dan gelombang haba dalam beberapa bulan ini, mengorbankan berpuluh nyawa dan mengakibatkan kerosakan besar. – AFP

    Pejalan kaki melintasi jalan raya di pusat bandar Naha, wilayah Okinawa pada 29 September 2018 ketika kawasan itu menjadi pulau yang pertama dibadai Taufan Trami. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda