MANILA, 14 NOV – Taufan Usagi hari ini melanda utara Filipina yang sudah pun dilanda bencana, manakala pihak berkuasa bergegas untuk memindahkan ribuan orang dari kawasan pesisir.
Usagi mendarat di bandar Baggao di wilayah Cagayan pada jam 0530 GMT dengan kelajuan angin 175 kilometer sejam, kata perkhidmatan cuaca negara taufan kelima yang melanda negara itu dalam masa hanya tiga minggu.
Gelombang bencana cuaca yang dahsyat itu telah mengorbankan 159 orang dan menyebabkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meminta bantuan sebanyak AS$32.9 juta untuk kawasan yang paling terjejas.
Agensi cuaca negara pada mulanya mengeluarkan amaran taufan tertinggi, namun menurunkannya kepada amaran kedua tertinggi ketika Usagi mendarat.
Agensi tersebut berkata bahawa angin tersebut boleh menyebabkan kerosakan yang ketara kepada struktur dari bahan ringan, kerosakan sederhana pada struktur yang dianggap berisiko rendah, serta menumbangkan pokok-pokok besar dalam tempoh 12 jam berikutnya.
Hujan lebat dan ombak pesisir yang berpotensi mengancam nyawa setinggi tiga meter juga dijangka berlaku selama dua hari.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos, juga melawat kawasan yang terjejas oleh taufan untuk memberikan bantuan tunai kecemasan, menggesa penduduk untuk mematuhi arahan pemindahan.
“Kami tahu bahawa sukar untuk meninggalkan rumah dan harta benda, tetapi berlindung boleh menyelamatkan nyawa,” katanya kepada penduduk pulau Mindoro di selatan ibu negara Manila, menurut transkrip rasmi ucapan beliau. – AFP