Monday, July 21, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Wipha landa Hong Kong

    HONG KONG, 20 JULAI – Hong Kong mengeluarkan amaran siklon tropika tertinggi hari ini ketika Taufan Wipha membadai bandar itu, dengan pihak berkuasa membatalkan kelas persekolahan dan menghentikan ratusan penerbangan.

    Wipha membadai sekitar 60 kilometer (km) tenggara Hong Kong setakat 10 pagi, menurut pemerhati cuaca bandar itu.

    Ombak besar dikesan di luar pantai timur Pulau Hong Kong.

    Balai cerap telah mengeluarkan amaran taufan T10, dengan mengatakan angin dengan kelajuan purata 118km sejam atau dijangka lebih dan menimbulkan ancaman yang besar kepada Hong Kong.

    “Di bawah pengaruh dinding matanya, tiupan taufan menjejaskan bahagian selatan wilayah itu,” kata balai cerap berkenaan sambil memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan angin yang memusnagkan itu.

    Wilayah Hainan dan Guangdong di China juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, kata agensi berita Xinhua kelmarin.

    Seorang wakil dari Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong berkata hari ini bahawa kira-kira 500 penerbangan telah dibatalkan kerana cuaca, manakala kira-kira 400 penerbangan dijadualkan berlepas atau mendarat pada hari itu.

    Lebih 200 orang telah mencari perlindungan di pusat perlindungan sementara yang dikendalikan kerajaan.

    Seorang lelaki mendapatkan rawatan perubatan di bilik kecemasan hospital awam pagi tadi, dengan pegawai menerima lebih daripada 12 laporan mengenai pokok tumbang.

    Pihak berkuasa membatalkan kelas hari ini di semua sekolah dan pusat jagaan.

    Sementara itu, kereta api tempatan menawarkan perkhidmatan terhad manakala operasi di bahagian terbuka ditangguhkan.

    Wipha membawa hujan lebat dan banjir ke Filipina dan dua orang telah dilaporkan hilang, menurut Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan negara itu. – AFP

    Gambar menunjukkan penghalang ditiup angin di daerah Tengah ketika amaran taufan T10 dikeluarkan apabila Taufan Wipha bergerak menuju Hong Kong pada 20 Julai. – AFP

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda