HANOI, 15 JUN – Enam orang maut manakala seorang lagi masih hilang di wilayah tengah Vietnam akibat hujan lebat dan banjir yang dicetuskan oleh Taufan Wutip, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Empangan Vietnam hari ini, lapor Xinhua.
Enam kematian dilaporkan di wilayah Quang Binh dan Quang Tri, manakala seorang lagi mangsa hilang selepas dihanyutkan arus deras di Quang Binh.
Taufan itu turut merosakkan 47 rumah, serta menenggelamkan lebih 58,000 hektar sawah padi dan tanaman lain di seluruh rantau berkenaan.
Menurut Pejabat Perangkaan Negara, bencana alam dari Januari hingga Mei itu mengorbankan atau menyebabkan kehilangan 40 orang di seluruh negara. – Bernama
