Wednesday, September 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Yagi: 82 maut, puluhan ribu dipindahkan

    HANOI, 10 SEPT – Puluhan ribu orang terpaksa meninggalkan rumah mereka hari ini ketika banjir besar melanda utara Vietnam susulan Taufan Yagi, dan angka kematian meningkat kepada 82 orang.

    Yagi melanda pada Sabtu dengan membawa angin melebihi 149 kilometer sejam dan hujan lebat yang menyebabkan banjir yang tidak pernah dilihat dalam beberapa dekad, menurut penduduk tempatan.

    Lebih 59,000 orang terpaksa berpindah dari rumah mereka di wilayah Yen Bai, kata pihak berkuasa tempatan hari ini, selepas banjir menenggelamkan hampir 18,000 rumah.

    Air banjir di Hanoi telah mencapai paras yang tidak pernah dilihat sejak tahun 2008, lapor media kerajaan, memetik seorang pegawai kanan tempatan, dan peramal cuaca telah memberikan amaran bahawa lebih banyak kejadian banjir dijangka akan berlaku di pusat bersejarah bandar itu.

    Phan Thi Tuyet, 50, yang tinggal berhampiran dengan Sungai Merah yang deras dan bergerak laju yang mengalir melalui ibu negara, berkata dia tidak pernah mengalami banjir setinggi itu.

    “Saya telah kehilangan segala-galanya, semuanya hilang,” katanya kepada AFP, sambil memegang dua ekor anjingnya ketika dia dipindahkan dengan bot, bersama penduduk lain yang rumah mereka dinaiki air.

    “Saya terpaksa pergi ke tempat yang lebih tinggi untuk menyelamatkan nyawa. Kami tidak dapat membawa apa-apa perabot bersama kami. Semuanya berada di bawah air sekarang.” – AFP

    Gambar dari udara ini menunjukkan jalan-jalan yang dinaiki air di Yen Bai, kelmarin, selepas Taufan Yagi melanda utara Vietnam. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda