Wednesday, February 5, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufiq Hanafi tak kongsi cerita umrah

    Pertama kali menjejakkan kaki ke tanah suci, pelakon Taufiq Hanafi mengambil pendekatan untuk tidak terlalu berkongsi mengenai perjalanannya itu kerana mahu memberi fokus kepada ibadah.

    Malah kata Taufiq atau Mohamad Taufiq Mohd Hanafi, 34, memberitahu perasaan bercampur baur tatkala mengesahkan tempahan bagi menunaikan ibadah umrah beberapa bulan lalu.

    “Perjalanan kali ni memang niat di hati untuk tidak memberitahu sesiapa kecuali keluarga dan teman rapat kerana pertama kali datang ke tanah suci, perasaan sangat takut dan gementar.

    “Memang niat untuk off dan tidak kongsi di sosial media. Hanya fokus pada diri sendiri ibadah pada Allah Yang Maha Esa,” katanya.

    Taufiq menulis perkara itu dalam satu perkongsian di Instagram miliknya pada kelmarin selepas dia selesai menunaikan umrah.

    Taufiq Hanafi mengongsikan bahawa perjalanan menunaikan umrah ini telah membuka mata, hati dan juga pemikirannya. – mStar

    Ketika dihubungi, pelakon ini memaklumkan dia kini berada di Madinah selepas berangkat ke Mekah pada 27 Januari lalu.

    Bercakap lanjut, Taufiq juga tidak menyangka dia diberi kesempatan untuk mengerjakan umrah dan keputusan untuk ke sana dilakukan dalam tempoh masa singkat.

    “Sebelum ini ada sahaja tajaan, tetapi rasa takut nak pergi. Mungkin juga belum mendapat jemputan Allah.

    “Rasanya lima bulan lalu sahabat saya hubungi beritahu dia dapat pakej murah ketika mengunjungi satu festival. Kebetulan jadual juga tidak sibuk dengan tarikh yang dirancang.

    “Ketika itu memang tak fikir panjang. Saya terus setuju dan bayar,” ceritanya.

    Tambahnya perjalanan di sana juga menjadi satu pengalaman berharga yang tidak mungkin dilupakan termasuklah mendalami erti kehidupan.

    “Satu pengalaman yang sangat luar biasa. Bukan sahaja dari segi spiritual malah keperibadian. Saya belajar banyak benda di sini, dari segi melihat manusia, kesabaran dan betapa indah serta misterinya anugerah Allah.

    “Perjalanan menunaikan umrah kali ini telah membuka mata, hati dan juga pemikiran saya,” luahnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda