APABILA disebut tauge, sudah pasti ramai akan terfikir mengenai tauge kacang hijau yang digunakan dalam masakan Asia. Tauge adalah sejenis tunas tanaman kekacang yang boleh dimakan. Ia adalah hasil daripada proses percambahan benih kekacang.
Banyak jenis biji benih kacang yang boleh dicambah untuk menjadi tauge. Ini termasuklah biji bunga matahari, biji kacang pea, biji kacang buncis, biji kacang Boston dan biji kacang soya. Semua jenis tauge merupakan sumber pemakanan yang baik.
Berikut adalah sebab mengapa anda perlu mempertimbangkan untuk memakan tauge dalam pemakanan seharian.
Rendah kalori baik untuk kawal berat badan
Dikatakan dengan memakan tauge anda mampu untuk mengawal berat badan kerana tauge rendah kalori.
Secawan tauge daripada benih kacang hijau memiliki kira-kira 31 kalori. Manakala secawan tauge daripada benih kacang soya memiliki sehingga 70 hingga 80 kalori.
Anda boleh menambah tauge dalam makanan anda tanpa perlu risau dengan kalorinya.

Rendah lemak tepu
Kebanyakan jenis tauge atau tunas kekacang merupakan sumber terbaik protein. Dikatakan memakan tauge lebih baik daripada memakan produk haiwan kerana ia mampu merendahkan tahap kolesterol dalam darah. Tauge bebas kolesterol dan rendah lemak tepu.
Hampir bebas garam
Tauge juga mampu merendahkan tekanan darah kerana ia hampir bebas garam.
Kandungan garam anda hanya akan bertambah jika anda memasak tauge dalam kicap.
Tinggi serat baik untuk usus
Berikutan dengan kandungan serat yang tinggi dalam tauge juga, dikatakan mampu untuk memperbaiki mortaliti usus dan melegakan tanda-tanda sembelit.
Sumber baik lesitin
Tauge daripada kacang hijau dikatakan sumber baik lesitin dan baik untuk kesihatan hati.
Lesitin mampu merendahkan tahap kolesterol dalam darah, membantu merendahkan lemak dalam hati sekali gus mencegah hati berlemak, iaitu masalah pada hati yang boleh membawa kepada kegagalan hati.
Tingkat penyerapan zat besi
Tauge yang kaya dengan zat besi mampu untuk memainkan peranan penting dalam sintesis hemoglobin, iaitu protein yang dijumpai dalam sel-sel darah merah.
Ia juga tinggi vitamin C, yang mampu meningkatkan penyerapan zat besi daripada usus, sekali gus membantu mencegah atau merawat anemia yang disebabkan oleh kekurangan zat besi. -Agensi