Thursday, May 8, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tauke Jambu tekad untuk berhenti, penat dikecam

    Pelawak, Tauke Jambu tekad untuk berhenti dan keluar dari industri hiburan tanah air kerana tidak mahu lagi menjadi mangsa tohmahan warganet yang semakin hari, semakin ‘liar’ di media sosial.

    Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria berkata, kebanyakan warganet hari ini gemar menghakimi secara keterlaluan.

    “Saya berpegang dengan kata-kata, semakin ramai peminat, semakin ramai juga orang yang membenci. Bagi saya, dua golongan ini sentiasa akan ada. Saya tak mahu lagi menjadi mangsa tohmahan.

    “Di media sosial sekarang, mereka (warganet) terlalu melampau dan sudah tak ada etika. Komen dan luahan pendapat juga umpama tak beradab dan seolah-olah menghakimi orang lain,” katanya.

    Selain itu, Tauke juga ingin menggunakan waktu yang ada selepas berhenti bergelar anak seni untuk keluarga dan perniagaannya.

    Tauke Jambu tekad untuk berhenti dan keluar daripada industri hiburan tanah air kerana tidak mahu lagi menjadi mangsa tohmahan warganet. – Agensi

    “Sekarang, tumpuan saya adalah keluarga dan produk-produk hasil perniagaan kecil saya. Selain itu, saya juga sedang berjinak-jinak dengan saluran YouTube di samping menggunakan platform media sosial untuk menjana pendapatan,” katanya.

    Pada masa sama, dia juga akan menggunakan masa yang ada untuk mendalami ilmu keagamaan.

    “Mendalami ilmu agama juga adalah satu daripada matlamat saya. Apa yang boleh saya katakan, guru terbaik adalah diri kita sendiri. Semuanya berbalik kepada diri dan pemikiran kita,” katanya.

    Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Tauke tekad untuk meninggalkan dunia hiburan dan mengakui, insiden membabitkan namanya yang terpalit kontroversi pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks baru-baru ini, turut memberi tamparan hebat buatnya.

    Semalam, Tauke turut meluahkan rasa syukur apabila pihak polis mengesahkan dia bukanlah individu yang dikaitkan dengan aktiviti tidak bermoral itu. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda