Oleh Muhammad Basir Roslan –
KUALA LUMPUR – “Perkhidmatan gunting rambut untuk kanak-kanak autisme atau gangguan spektrum autisme (ASD).”
Kedengaran pelik, namun hakikatnya mungkin ramai terlepas pandang anak-anak istimewa ini memerlukan perkhidmatan khusus seperti ini yang sudah tentu memudahkan ibu bapa atau penjaga mereka.
Dengan tingkah laku serta ragam yang sukar dijangka, perkara kecil untuk menggunting rambut sebenarnya boleh menjadi masalah besar untuk golongan berkenaan.
Teruja dengan servis yang diuar-uarkan dalam hantaran di Facebook peribadinya, penulis langsung menghubungi Azzam Mujah yang menawarkan perkhidmatan gunting rambut untuk anak-anak istimewa itu.
Bagi tukang gunting rambut berusia 29 tahun dan berasal dari Bandar Baru Kuching, Sarawak ini, beliau memilih untuk menawarkan servis istimewa itu kerana memikirkan tidak semua kedai gunting rambut berani mengambil tanggungjawab tersebut.
Perlu teknik khusus
Menurut Azzam, semuanya tercetus daripada pengalaman menggunting rambut seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun yang menghidap autisme bernama Nadheem Nizam.
Ketika itu, beliau baru sahaja membuka kedai gunting rambut dengan nama ‘Kedai Gunting Rambut Abang Bomb’ bersama dua lagi rakan, Airul Helmi dan Hamadi Halmi, di tengah-tengah bandar baru Samariang (Kuching) pada awal tahun 2020.
“Ketika itu, ibu bapa Nadheem sudah mengunjungi hampir semua kedai gunting di sekitar bandar berkenaan.
“Malangnya tiada satu pun kedai yang sanggup menggunting rambut anaknya. Rasa kasihan membuatkan kami mengambil tugas itu dan menggunting rambut anak istimewa itu dengan penuh kesabaran dan dalam situasi penuh mencabar,” jelasnya ketika dihubungi menerusi panggilan video Zoom, baru-baru ini.
Mengimbau kembali pengalaman yang tidak boleh dilupakan itu, Azzam berkata pada mulanya, beliau dan rakan-rakannya berasa agak risau untuk menggunting rambut Nadheem dan pelbagai cara dilakukan bagi menenangkan anak istimewa itu.
“Kami masih ingat sebaik sahaja ibu bapa dan anak kecil itu melangkah masuk ke kedai, suasana menjadi hiruk-pikuk kerana dia menjerit-jerit tidak mahu rambutnya digunting sambil mengayunkan ‘penumbuk’ kedua-dua tangannya kerana marah.
“Namun tidak ingin berputus asa, saya dan rakan-rakan perlahan-lahan cuba memenangi hatinya dengan memberikan gula-gula dan bergelak ketawa bersamanya. Agak lama juga ambil masa untuk menenangkannya, namun akhirnya kami berjaya menggunting rambut Nadheem,” katanya.
Bertitik tolak dari situlah Azzam dan rakan-rakannya sepakat untuk terus menawarkan servis khas menggunting rambut kanak-kanak autisme memandangkan perkhidmatan seperti itu jarang ditawarkan secara khusus.
Selain menyediakan pelbagai jenis gula-gula dan coklat, kedai gunting rambut Azzam juga turut menyediakan pelbagai alat permainan sebagai usaha untuk mengalihkan perhatian anak-anak autisme ketika proses menggunting rambut.
“Setakat ini, kami menggunting rambut lebih 100 orang kanak-kanak autisme yang datang dari daerah berdekatan Bandar Baru Kuching sekali gus menjadikan kami kedai gunting rambut tunggal yang menawarkan servis ini,” katanya menambah harga RM10 ditetapkan bagi satu kepala.
Kerjaya sepenuh masa
Azzam, seorang lepasan persijilan automotif di sebuah kolej komuniti di Kuching berkata, beliau memilih kerjaya sebagai tukang gunting rambut sepenuh masa atas faktor minat.
“Pada tahun 2017, saya baru sahaja menamatkan persijilan automotif dan berusaha mencari kerja tetap dalam bidang berkenaan. Dalam masa yang sama, saya turut mencari kerja separuh masa dan rakan saya Hamadi banyak mengajar saya teknik menggunting rambut yang berbeza untuk rambut lelaki, wanita dan kanak-kanak.
“Bermula dari situlah saya semakin berminat untuk terus menceburi bidang gunting rambut ini secara sepenuh masa. Kami kemudian ambil keputusan untuk membuka khemah gunting rambut di sebuah pasar malam di sini sekitar tahun 2018.
“Pada awal tahun 2020 kami berjaya mengumpul modal sebanyak RM10,000 untuk membuka kedai sendiri yang disewa dengan semua dekorasi dan renovasi kedai kami lakukan bersama,” jelasnya, sambil menambah, rakan niaganya Hamadi, bekas anggota bomba meninggal dunia pada Februari lepas akibat penyakit darah tinggi.
Menurut Azzam, walaupun kini hanya tinggal Airul sebagai rakan kongsi, beliau tidak berputus asa meneruskan perniagaan mereka malah berhasrat mengembangkan lebih banyak cawangan di seluruh negeri Sarawak pada masa hadapan.
“Kedai gunting rambut ini adalah amanah arwah Hamadi yang akan kami usahakan kerana beliau selalu menasihatkan bahawa servis gunting rambut adalah khidmat tanggungjawab kita kepada masyarakat dan kita perlu sentiasa memudahkan urusan semua orang. Kami akan pegang kata nasihat arwah ini sampai bila-bila,” ujarnya.
Permudah urusan ibu bapa
Menyifatkan perkhidmatan gunting rambut bagi kanak-kanak autisme sememangnya membantu memudahkan urusan ibu bapa, Noor Haerizan Abu Bakar, 39, ibu kepada Nadheem berkata, anaknya tidak menggemari orang lain memegang kepala apatah lagi membiarkan orang lain menggunting rambutnya.
“Bayangkan ahli keluarga sendiri pun tidak boleh sesuka hati menyentuh anak saya kerana dia penghidap autisme Tahap 3 iaitu tahap autisme yang paling serius. Nadheem tidak dapat berkomunikasi secara lisan (verbal) dan perlu menggunakan gambar bagi menyatakan apa yang diinginkan.
“Tindak-tanduknya juga kadang-kadang amat agresif, membuatkan orang lain takut dengannya. Namun kedai gunting rambut Azzam ini mampu mengawal keadaan dan menggunting rambut Nadheem sama seperti kanak-kanak lain. Kemahiran dan tahap kesabaran mereka ketika mengendalikan Nadheem amat kami kagumi,” katanya.
Suri rumah yang juga anak jati Bandar Baru Samariang, Kuching itu berharap agar perkhidmatan khusus seperti itu secara tidak langsung dapat menghapuskan stigma terhadap anak autisme selain mereka juga perlu dilayan dengan baik.
“Sokongan sosial dari semua pihak sebenarnya amat diperlukan supaya kanak-kanak autisme ini dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik dan tidak dibeza-bezakan,” katanya sambil melahirkan harapan agar lebih banyak perkhidmatan khusus untuk anak istimewa dapat diwujudkan dan diperluaskan bagi membantu golongan berkenaan dan ahli keluarga mereka. – Bernama