Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Pameran Kumpulan TAIB yang berlangsung di The Mall, Gadong hingga 3 Ogos ini adalah bertujuan untuk mempamerkan tawaran kolektif Kumpulan Syarikat Perbadanan TAIB yang mencerminkan lebih 30 tahun pertumbuhan dan inovasi.
Pameran selama tiga hari itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam kapasitinya selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.
Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB serta Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd.
Pameran Kumpulan TAIB mengetengahkan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd, Darussalam Holdings Sdn Bhd dan TAIB Filling Station Sdn Bhd.
Semasa acara berkenaan, Perbadanan TAIB akan mengetengahkan Kempen Kewangan NextStep dan Gemilang yang direka untuk menyokong matlamat kewangan utama seperti pendidikan, pemilikan rumah, keperluan perniagaan dan pembangunan peribadi.



Dengan kadar kompetitif serta terma fleksibel, pilihan kewangan berkenaan menyediakan penyelesaian praktikal bagi individu dan keluarga merancang langkap seterusnya dalam mencapai aspirasi kehidupan mereka.
Perbadanan TAIB juga akan mengetengahkan penyelesaian pembayaran digital yang menawarkan kaedah yang mudah dan selamat untuk mengurus kewangan mereka.
Turut dipamerkan adalah akaun Retirement Saver dan Medical Saver yang dibukakan kepada warga tempatan dan ekspatriat.
Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd akan mempamerkan perkhidmatan insurans digitalnya menerusi platform Insurans Islam TAIB E-Commerce yang membolehkan pelanggan untuk mengakses dengan mudah produk-produk takaful seperti Skim Takaful Pemilik Rumah dengan tawaran promosi eksklusif e-baucar, HOT Deal, kepada pelanggan-pelanggan yang menyertai secara atas talian serta juga Skim Takaful Kemalangan Peribadi khusus dengan liputan perubatan bagi warga tempatan dan ekspatriat.
Turut ditawarkan ialah Pelan Pembantu Rumah Peribadi yang direka untuk memenuhi keperluan Jabatan Buruh bagi perlindungan perubatan pekerja asing sehingga $100,000.
Darussalam Holdings Sdn Bhd pula menawarkan barisan tawaran eksklusif sepanjang pameran berkenaan.
Pameran itu juga mengetengahkan penyertaan daripada rakan-rakan kongsi automotif, hartanah dan banyak lagi.
Cyber Security Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei juga mengambil bahagian menerusi pameran berpendidikan dan interaktif mereka.

