Wednesday, April 2, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tawaran pakej percutian hebat

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan tawaran istimewa bagi destinasi pelancongan menarik yang ditawarkan semasa pesta pelancongan, Sabre Brunei Travel Fair 2019 yang diadakan selama dua hari bermula 3 hingga 4 Ogos di Common Area, Tingkat 1, Pusat Membeli-Belah OneCity, Sungai Hanching.

    Pesta pelancongan yang menyaksikan orang ramai berkumpul dari awal pagi bagi mendapatkan pakej-pakej percutian dan penerbangan yang istimewa anjuran Sabre Travel Network Brunei itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Sabre Travel Network Brunei, Karam Chand.

    Pesta pelancongan itu merupakan acara selama dua hari yang memberikan peluang kepada syarikat-syarikat penerbangan, pejabat-pejabat pelancongan, hotel dan ejen-ejen pelancongan, sebuah platform yang unik bagi mereka untuk mengetengahkan dan mempromosikan produk serta perkhidmatan mereka kepada para pelanggan dan pengunjung ke pesta pelancongan berkenaan.

    Pengurus Besar Sabre Travel Network Brunei, Irene Soon dalam kata alu-aluannya di perasmian pesta pelancongan berkenaan ialah pesta itu merupakan kali ke-16 dianjurkan oleh Sabre Travel Network Brunei dan ia merupakan komitmen berterusannya untuk menyediakan rakan kongsi pelancongan mereka sebuah platform untuk mengetengahkan produk dan perkhidmatan mereka.

    Acara itu terus mendapatkan sambutan yang sungguh menggalakkan setiap tahun di mana pada 2018, acara itu menyaksikan lebih 13,500 orang pengunjung dan ia juga mencatatkan peningkatan tempahan sebanyak lebih 14 peratus.

    Tetamu kehormat semasa menyaksikan petak-petak jualan pesta pelancongan, Sabre Brunei Travel Fair 2019.

    Pesta pelancongan itu, jelas Irene Soon lagi adalah platform unik bagi pembekal pelancongan tempatan untuk mengetengahkan produk dan perkhidmatan mereka di mana ia menyediakan peluang bagi para pengunjung untuk mengenali tawaran dan pakej yang terdapat di Brunei.

    Pada masa yang sama, pesta pelancongan itu juga merupakan platform yang bersesuaian untuk membantu para pengunjung mempromosikan Brunei sebagai destinasi pilihan apabila mereka melancong di luar negara.

    Semasa pesta pelancongan dua hari itu, syarikat-syarikat pelancongan seperti Anthony Tours & Travel Agency, A-Taqwa Travel Tours, Century Travel centre, Dar El Ehsan Travel, Darussalam Holdings, Freme Travel Services, Grace Travel, J J Tour Services, Pan Bright Travel Services, Southern Cross Travel Agencies dan Straits Central Agencies, menawarkan pelbagai pakej percutian yang menarik dan berbaloi.

    Selain disertai syarikat-syarikat pelancongan, pesta itu juga menyaksikan penyertaan dari Lembaga Kemajuan Pelancongan Brunei, Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Kementerian Pelancongan, Republik Indonesia, Lembaga Pelancongan Sarawak, Lembaga Pelancongan Singapura dan Biro Pelancong Taiwan.

    Turut menyertai pesta pelancongan itu ialah Bank Baiduri, Bank Islam Brunei Darussalam, Bank Standard Chartered (SCB), Takaful Brunei Am, Malaysia Healthcare Travel Council dan Royal Brunei Airlines (RB) di mana para pengunjung boleh bertemu dan mendapatkan maklumat jika mereka memerlukan sebarang penerangan serta bantuan lanjut.

    Sementara itu, SCB dalam kenyataannya telah menawarkan ganjaran menarik seperti bagasi kabin kecil American Tourister, sehingga 5,000 Royal Skies Miles dan poin Ganjaran Berganda kepada pemegang kad Standard Chartered Visa apabila mereka menukar pembelian kepada pelan EasyPay di petak pameran mereka di OneCity.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda