Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Pengambilan siswa-siswi baharu bagi Program Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) bagi sesi Pengajian 2025-2028 kini telah dibuka bermula hari ini, 8 Januari sehingga 1 Februari.
Dalam kenyataan media oleh ITQSHHB, tawaran berkenaan dibuka untuk semua warga atau penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang berugama Islam yang memenuhi syarat-syarat kemasukan seperti memperolehi kredit bagi Mata Pelajaran Bahasa Melayu dalam Peperiksaan Sijil Am Pelajaran Brunei Peringkat Biasa Brunei Cambridge (G.C.E ‘O’ Level), memperolehi sekurang-kurangnya 4 Jayyid dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) termasuk Jayyid dalam dua mata pelajaran teras iaitu Al-Quran dan Bahasa Arab,serta Jayyid dalam dua mata pelajaran wajib iaitu Tafsir / Hadith / Fiqh / Tauhid / Tarikh dan yang sebanding dengannya atau memperolehi sekurang-kurangnya 4 kredit dalam Peperiksaan Sijil Am Pelajaran Brunei Peringkat Biasa Brunei Cambridge (G.C.E ‘O’ Level) atau International General Certificate of Secondary Education IGCSE Level atau yang sebanding dengannya termasuk satu kredit C6 dalam Mata Pelajaran Bahasa Arab.
Selain itu, pemohon juga perlu lulus temuduga kemasukan, mempunyai akuan kesihatan dari Pusat Kesihatan Kerajaan yang diiktiraf dan adalah satu kelebihan sekiranya pemohon telah menghafaz sekurang-kurangnya 10 Juzu’ Al-Quran.
Bagi pemohon bukan rakyat (Ibu/bapa yang Bertugas di Jabatan Kerajaan atau Government Linked Companies di Negara Brunei Darussalam) boleh memohon dengan menghadapkan Surat Permohonan Khas kepada Pengerusi Lembaga ITQSHHB melalui Pengetua Institut.
Borang permohonan boleh didapati di pejabat ITQSHHB, Simpang 175, KM 2, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Bandar Seri Begawan pada waktu pejabat, atau dimuat turun dari laman sesawang Kementerian Hal Ehwal Ugama, www.kheu.gov.bn.
Borang hendaklah dikembalikan sebelum tarikh tutup pada Sabtu, 1 Februari, pukul 4 petang dan sebarang keterangan lanjut boleh didapati di talian +673 2222090 / 2222093 / 2222096 sambungan 229.