Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Seramai 17 orang kanak-kanak Yayasan Kanser Kanak-kanak Brunei (YASKA) berpeluang untuk menyaksikan filem popular terkini, Avengers: Infinity War melalui tayangan amal yang berlangsung di The Arena Cineplex, Seri Qlap Mall, Kiulap, hari ini.
Tayangan amal berkenaan merupakan acara kebajikan anjuran bersama oleh Seri Qlap Mall, Arena Cineplex dan Marvel Lush Enterprise untuk memberikan peluang kepada kanak-kanak YASKA menyaksikan filem wira popular berkenaan.
Acara amal itu anjuran bersama yang pertama berkenaan juga merupakan satu kegiatan kebajikan oleh pihak penganjur bagi kanak-kanak YASKA serta penjaga mereka.
Selain kanak-kanak YASKA dan penjaga mereka, sukarelawan acara Superhero Day yang diadakan pada 21 hingga 22 April lalu turut diraikan dan sama-sama dijemput menyaksikan filem berkenaan.
Selain itu, kanak-kanak YASKA turut diberikan cenderahati istimewa dan dihiburkan dengan kehadiran kumpulan Cosplayers yang tampil dengan watak-watak wira popular Avengers.
