Wednesday, February 12, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tayar kenderaan bawa sampah terbakar

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Sebuah kenderaan berat terbakar tayarnya semasa dalam perjalanan di Lebuh raya Muara-Tutong menuju Universiti Brunei Darussalam baru-baru ini.

    Kenderaan berupa treler membawa sampah itu terbakar di bahagian tayar belakang dan pemandunya cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api jenis CO2 dan debu kering sebelum jentera bomba sampai.

    Pada kebakaran 13 Mei itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah mengerahkan sembilan orang anggota dari Balai Bomba Rimba yang diketuai oleh ABK 544 Pengiran Mezidi bin Pengiran Haji Sarudin.

    Sejurus tiba di tempat kejadian, anggota JBP bertindak memakai set alat pernafasan dan memadamkan kebakaran dengan sumber air diperolehi dari jentera bomba.

    Kebakaran dapat dikawal dalam masa kira-kira 5 minit dan tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

    Sehubungan itu, JBP menyarankan syarikat pengangkutan untuk memastikan kenderaan mereka sentiasa ada alat pemadam api jenis debu kering bagi mana-mana kenderaan jenis lori, treler dan pikap serta tahu tatacara menggunakannya.

    JBP juga menasihatkan orang ramai untuk sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan seperti tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.

    Mereka juga disarankan untuk sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin, aksesori kereta dan pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi, boleh menyebabkan pendawaian terbakar.

    ATAS & BAWAH: Anggota JBP bertindak memadamkan kebakaran pada tayar di bahagian belakang sebuah treler dalam insiden kebakaran kenderaan di Lebuh raya Muara-Tutong baru-baru ini.

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda