Penyanyi dan penulis lagu Hollywood terkenal, Taylor Swift, mencipta sejarah peribadi dan industri apabila mengumumkan dia kini secara rasmi memiliki semula hak milik penuh terhadap keenam-enam album asalnya yang pernah menjadi isu besar dalam industri muzik global.
Album-album yang dimaksudkan ialah Taylor Swift (2006), Fearless (2008), Speak Now (2010), Red (2012), 1989 (2014) dan Reputation (2017), yang pada mulanya berada di bawah naungan Big Machine Records sebelum dijual kepada pihak ketiga tanpa persetujuannya.
Memetik laporan Utusan Malaysia, menerusi satu kenyataan di laman sesawangnya, Taylor meluahkan rasa syukur selain mengakui penat lelah selama bertahun-tahun memperjuangkan haknya sebagai pemilik karya seni sendiri akhirnya berbayar.
“Saya hampir berputus asa untuk percaya bahawa hal ini akan berlaku, selepas 20 tahun barulah ia terjadi. Hari ini, barulah saya dapat katakan segala muzik yang pernah saya hasilkan, kini menjadi milik saya.
“Termasuk semua video muzik, filem konsert, seni kulit album, fotografi, lagu-lagu yang belum diterbitkan, kenangan, keajaiban, kegilaan setiap era. Seluruh hasil karya hidup saya.

“Ini adalah kemenangan untuk semua artis yang pernah berjuang untuk mendapatkan semula suara dan hak mereka,” katanya.
Dalam pengumuman tersebut, Taylor turut berterima kasih kepada firma pelaburan Shamrock Holdings yang telah memberi kerjasama memudahkan proses pemilikan semula itu.
Kontroversi mengenai isu pemilikan rakaman asal (masters) Taylor Swift bermula pada Jun 2019 apabila syarikat Ithaca Holdings membeli Big Machine Label Group iaitu syarikat yang memiliki rakaman asal enam album pertama Taylor dengan anggaran nilai sekitar AS$300 juta.
Menurut anggaran ketika itu, katalog muzik Taylor sahaja dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah tersebut.
Sepanjang beberapa tahun, Swift secara terbuka menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap urusan pemilikan rakaman tersebut yang berpindah tangan tanpa penglibatannya.
Sebagai tindak balas, pada tahun 2019, Taylor memulakan proses merakam semula semua album Big Machine itu sebagai usaha untuk mendapatkan semula kawalan ke atas lagu-lagunya dari sudut komersial. – Agensi

