PENYANYI terkemuka, Taylor Swift bakal melancarkan album terbarunya, Reputation yang juga merupakan album keenam di sepanjang penglibatan beliau dalam industri seni pada 10 November.
Bagaimanapun terdapat pula beberapa pihak yang cuba membuat spekulasi apabila dituduh sengaja memilih tarikh kematian ibu Kanye iaitu pada 10 November untuk melancarkan album tersebut.
Sebelum ini industri seni Hollywood memang telah maklum akan perang dingin yang berlaku di antara Taylor Swift dan Kanye West.
Pada tarikh itu juga adalah ulangtahun ke-10 kematian ibu Kanye dan kebetulan itu membuatkan peminat mula membuat spekulasi Taylor ingin mengenakan Kanye.
Ini kerana kematian ibunya meninggalkan kesan mendalam kepada diri Kanye memandangkan hubungan mereka akrab.

Bagaimanapun sumber kepada penyanyi lagu Shake It Off itu menafikan perkara itu dan menjelaskan tarikh itu adalah secara kebetulan.
“Sudah menjadi kebiasaan bagi mana-mana artis untuk melancarkan album mereka pada hari Jumaat dan kebetulan 10 November jatuh pada hari itu,” ujar sumber kepada E Online.
Pergaduhan di antara Kanye dan Taylor tercetus pada 2009 apabila penyanyi rap itu menganggu ucapannya ketika menerima trofi pada acara Anugerah MTV.
Kanye bagaimanapun memohon maaf kepada Taylor di Twitter.
Bagaimanapun pada Februari tahun lalu, Kanye sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila dia menyelar Taylor dalam lagunya iaitu Famous.
Kanye bagaimanapun mendakwa, Taylor sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan terkejut apabila dia berpura-pura tidak tahu dan berlagak seperti mangsa keadaan.