Selepas dua tahun bercinta, penyanyi Taylor Swift mengumumkan dia dan kekasihnya Travis Kelce kini sudah bertunang.
Berita gembira itu diumumkan sendiri oleh Taylor di Instagram miliknya pada Selasa dalam satu hantaran yang mencuit hati kerana menggelarkan diri mereka sebagai ‘guru’.
Menurut laporan mStar, “Cikgu Bahasa Inggeris dan Cikgu Pendidikan Jasmani anda sudah mahu berkahwin,” tulisnya.
Dalam hantaran dibuat, Taylor turut memuat naik foto memaparkan Travis melutut di sebuah taman sebelum menyerahkan sebentuk cincin pertunangan kepada penyanyi berusia 35 tahun itu.
Difahamkan, cincin pertunangan mereka itu merupakan rekaan khas Travis sendiri bersama bantuan pereka barang kemas terkenal, Kindred Lubeck.
Taylor dilihat tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya lalu memeluk dan mencium tunangnya sebelum kedua-dua mereka merakamkan foto kenangan bersama.
Apa lebih menarik, pasangan ini turut tampil sedondon dengan busana rona biru sewaktu acara lamaran tersebut.
Pengumuman pertunangan ini dibuat dua minggu selepas kemunculan pertama Taylor dalam podcast New Heights yang dikendalikan oleh Travis sendiri.
Pun begitu, menurut laporan Page Six, lamaran tersebut sebenarnya telah berlaku beberapa minggu lebih awal.
Untuk rekod, Taylor dan Travis dilaporkan menjalin hubungan cinta sejak September 2023 selepas berpisah dengan pelakon Joe Alwyn. – Agensi


