Penyanyi popular Hollywood, Taylor Swift, mengumumkan album ke-10 bertajuk Midnights akan diterbitkan pada 21 Oktober depan.
Pengumuman itu dibuat melalui semasa anugerah MTV VMA dan laman sosialnya dan akan melibatkan “kisah-kisah 13 malam tanpa tidur selepas putus cinta” sepanjang hidupnya.
Midnights merupakan album terbaharu selepas dia mengeluarkan Folklore dan Evermore yang mendapat sambutan hebat. Folklore berjaya memenangi album terbaik di Anugerah Grammy 2021.
Awal minggu ini, Taylor Swift memenangi hadiah utama Video of the Year di MTV VMA, untuk persembahan sinematik selama 10 minit lagu hitnya, All Too Well. Semasa ucapan penerimaannya, Swift menggembirakan peminat dengan mendedahkan bahawa album studio ke-10nya, Midnights akan keluar tidak lama lagi.
“Saya fikir ia mungkin masa yang menyeronokkan untuk memberitahu awda bahawa album baharu saya akan keluar pada 21 Oktober,” katanya di penghujung ucapannya, menimbulkan sorakan teruja daripada orang ramai.
“Dan saya akan memberitahu awda lebih banyak pada Midnights nanti.”
Melalui laman Instagram peribadi, Taylor Swift menyiarkan lebih banyak maklumat tentang rakaman 13 buah lagu yang akan datang: “Ini adalah koleksi muzik yang ditulis pada waktu tengah malam, perjalanan melalui mimpi ngeri dan indah. Kesukaran yang dihadapi, bagi kita semua yang dalam kegelisahan memutuskan untuk mencari sinar harapan – berharap mungkin keesokannya harinya…kita akan menemui diri sebenar kita.”
Penyanyi wanita itu mengakhiri hantarannya dengan kapsyen berbunyi, “Midnights, kisah 13 malam tanpa tidur yang melanda sepanjang hidup saya, akan keluar pada 21 Oktober. Temui saya pada Midnights.” – Agensi