Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT- Sempena Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Pemulihan Antarabangsa, satu majlis ceramah agama telah diadakan di Masjid Ar-Rahim, Kampong Bukit Panggal, Tutong, sejurus selesai solat fardhu Subuh berjemaah.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon. Turut hadir ialah Pemangku Pengarah BKN, Pengiran Saiful Rizal bin Pengiran Putera Negara Pengiran Haji Omar serta Pemangku Pengarah Jabatan Penjara, Bahrin bin Haji Mohammad Yassin.
Ceramah berkenaan menampilkan penceramah jemputan, Prof. Dr. Ustaz Haji Abdul Somad dengan tajuk Sinar Menuju Pemulihan.
Majlis berkenaan disasarkan kepada residen peringkat Skim Pelepasan Sementara Pusat Al-Islah serta Rakan Seliaan di bawah Jabatan Penjara. Ianya merupakan anjuran bersama Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Jabatan Penjara dengan tajaan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).
Objektif penganjuran ceramah adalah untuk membimbing para residen dan rakan seliaan agar menjadi insan yang mematuhi perintah Allah SWT serta menjauhi larangan-Nya, sekali gus memperkukuh usaha pemulihan dan integrasi semula mereka ke dalam masyarakat.
Majlis diharap memberikan pencerahan rohani dan sokongan moral yang berterusan, sejajar dengan peranan institusi agama, keluarga dan masyarakat dalam membentuk insan bertaqwa.
Semua di atas: Antara suasana semasa ceramah berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN PENJARA

