Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – “Kita mesti menyerahkan semua urusan kita kepada Allah SWT kerana Allah itu Maha Mengetahui. Usaha tanpa adanya bantuan daripada-Nya tidak akan menjadi dan pasti akan menjadi sia-sia,” demikian antara intipati tazkirah bertajuk Kembali Kepada Allah yang disampaikan oleh Pegawai Ugama dari Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Mohammad Nasyith bin Superi.
Menurut beliau, tawakal merupakan amalan hati yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW dan harus diselaraskan dengan usaha yang merupakan amalan fizikal. “Tawakal dan usaha mesti seimbang. Tawakal itu lahir dari keimanan dan bagi orang-orang yang beriman, semestinya menyerahkan seluruh urusannya hanya kepada Allah SWT,” tambah beliau lagi dalam tazkirah yang disampaikan semasa program Masjidku Makmur, Negara Berkat yang berlangsung awal pagi tadi di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Program dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah dan diikuti dengan bacaan wirid serta tazkirah kerohanian yang bertujuan menggalakkan umat Islam agar sentiasa memakmurkan masjid, khususnya melalui kehadiran istiqamah untuk menunaikan sembahyang secara berjemaah terutamanya pada awal waktu Subuh.
Program tersebut diungkayahkan sebagai inisiatif untuk memberi peluang kepada masyarakat meraih keberkatan dan ganjaran pahala dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui ibadah berjemaah dan amalan wirid sebelum memulakan hari dengan ketenangan, kekuatan rohani dan keceriaan.
Inisiatif sedemikian juga dilihat mampu membina budaya keagamaan yang kukuh dalam komuniti, serta memperkukuhkan peranan masjid sebagai pusat ibadah, ilmu dan penyatuan umat.



