Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Masjid Ash-Shaliheen hari ini sekali lagi menjadi tempat perhimpunan bagi ahli-ahli Persatuan Siswazah Wanita (PSW), peserta-peserta Kumpulan Membaca Al-Quran (MMQ), ahli-ahli persatuan di bawah payung Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam, serta ahli keluarga dan masyarakat awam dalam satu sesi tazkirah mingguan di bulan Ramadan.
Sesi tazkirah anjuran PSW bagi minggu terakhir di bulan suci ini bertajuk Sebelum Ramadan Berlalu disampaikan oleh Penolong Pensyarah di Pusat Pengajian Usul Fiqh Kontemporari, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Pengiran Izzati binti Pengiran Haji Kasharan.
Acara berkenaan turut diselajurkan dengan bacaan Surah Yasin, Rattib Al-Attas dan Tahlil yang dipimpin oleh Pengiran Izzati.
Perkumpulan itu dihadiri oleh Penasihat I PSW, Pengiran Hajah Zabaidah binti Pengiran Haji Kamaludin, dan Penasihat II PSW, Dr Hajah Hairuni binti Haji Mohamed Ali Maricar.
Sesi itu bertujuan memberikan peringatan kepada para hadirin tentang pentingnya memperbanyakkan amalan soleh di penghujung Ramadan, serta menanamkan keazaman untuk meneruskan istiqamah dalam beribadah setelah Ramadan berakhir.

Antara intipati tazkirah yang dikongsikan termasuklah menghayati sisa Ramadan, iaitu menggunakan peluang terakhir bulan Ramadan untuk memperbanyakkan doa, istighfar dan ibadah sunat sebagai penutup yang terbaik.
Keutamaan memohon keampunan Allah SWT juga ditekankan, dengan menyedari bahawa Ramadan adalah bulan keampunan dan segala amalan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan akan diterima dengan rahmat-Nya.
Selain itu, tazkirah juga menekankan kepentingan menanamkan keistiqamahan iaitu meneruskan amalan kebaikan seperti solat malam, membaca Al-Quran, dan bersedekah walaupun selepas Ramadan; serta keberkatan malam Lailatul Qadar: mengambil kesempatan untuk beribadah dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah SWT di malam-malam terakhir Ramadan.
Tazkirah juga mengingatkan agar Ramadan dijadikan titik perubahan, di mana ia merupakan madrasah rohani yang membentuk akhlak dan menjadikan seseorang lebih dekat dengan Allah SWT sepanjang hayatnya.
Majlis tersebut diakhiri dengan solat Fardu Zohor secara berjemaah, di mana para hadirin berpeluang mengeratkan ukhuwah serta meningkatkan kekhusyukan dalam ibadah bersama-sama.
Dengan adanya tazkirah tersebut, diharap ia dapat menjadi titik tolak dalam memperkukuhkan keimanan dan menggalakkan setiap individu untuk terus berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT, bukan hanya di bulan Ramadan tetapi sepanjang kehidupan mereka.
PSW, yang ditubuhkan pada 5 Februari 1990, adalah sebuah organisasi bukan kerajaan yang telah beroperasi selama 35 tahun dalam perkhidmatan masyarakat. Dengan keanggotaan yang terdiri daripada ramai profesional, PSW sentiasa menganjurkan program yang memberi impak dalam bidang pendidikan, kebajikan, dan pembangunan profesional.