Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Semangat memakmurkan masjid dengan amalan Subuh berjemaah menyerlah di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien pagi tadi apabila para belia dan jemaah hadir untuk menyertai program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’, lengkap dengan Tazkirah Subuh yang penuh pengajaran.
Antara intipati tazkirah bertajuk “Membentuk Jati Diri Belia Brunei Darussalam” ialah penekanan bahawa Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara Islam, dan cogan kata pada bendera negara membawa maksud sentiasa membuat kebajikan dengan hidayah.
Menurut tazkirah yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah, Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Haji Mohammad Khairul Azhar bin Haji Idris, orang yang membuat kebajikan adalah insan yang memiliki akhlak yang baik, berbudi pekerti, berbudi bahasa dan berbudi bicara.
Tazkirah turut menekankan makna nama negara pada pita (scroll) Brunei Darussalam, yang secara harfiah membawa maksud, “Brunei, Tempat Kediaman Damai.”
Program dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah, diikuti bacaan wirid dan tazkirah Subuh. Ia dianjurkan bagi menggalakkan umat Islam memakmurkan masjid secara istiqamah, khususnya melalui Subuh berjemaah di awal waktu, selain memperkukuhkan amalan kerohanian, meraih keberkatan hidup, serta membina masyarakat yang berdisiplin dan berakhlak mulia.



