Oleh Yusrin Junaidi –
TEMBURONG, 20 JULAI – Untuk menyemarakkan lagi Sambutan Ilal Hijrah 1445 dengan mengimbas kembali sejarah hijrah Baginda Rasulullah SAW, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong serta ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Haji Abu Bakar, Kampung Bukok telah mengadakan Tazkirah Ilal Hijrah 1445, hari ini.
Hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Noraini Yanti bin Haji Hussin.
Majlis diserikan lagi dengan tazkirah yang disampaikan oleh Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Dayang Siti Amal Zakiah binti Haji Mohammad Yusof.
Tazkirah berkisar tentang sejarah hijrah Baginda Rasulullah SAW serta menjelaskan makna hijrah yang dilalui dalam kehidupan masa kini.
Majlis berkenaan juga diisikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran mengenai hijrah berserta tafsirannya secara beramai-ramai.
Di samping menghayati bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dengan memahami makna dan maksud ayat yang dibaca, acara itu juga dihasrat untuk menyemaikan lagi rasa cinta bagi membaca Al-Quran secara beramai-ramai.
Selain itu, acara diadakan bagi mengeratkan lagi silaturahim sesama Muslimah masjid di Daerah Temburong dan Muslimah jemputan dari masjid di Daerah Brunei dan Muara.
Semoga dengan adanya program seumpama ini akan dapat menyemai rasa cinta untuk melazimkan diri dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran serta memahami maknanya dan juga dapat memahami makna hijrah yang sebenar agar membawa perubahan kepada diri mereka khususnya Muslimah bagi menjadi seorang yang lebih baik.