Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Jawatankuasa Takmir Masjid Pehin Khatib Abdullah (PeKA), baru-baru ini, telah mengadakan tazkirah subuh bertajuk ‘Persediaan Menjelang Ramadan’ sebagai pembuka kepada acara kempen kebersihan dan gotong-royong di tanah perkuburan Islam Larikan Kampung Kulapis.
Tazkirah yang berlangsung selepas solat fardu Subuh itu dijayakan bersama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kulapis dengan kerjasama Balai Polis Sengkurong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Hadir bagi menyampaikan tazkirah ialah da’ie bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Awang Ahmad Ahyad bin Haji Amynoor dan dihadiri oleh para jemaah dan Muslimah Masjid PeKA.
Tazkirah itu merupakan pembuka kepada acara kemasyarakatan yang diadakan di Kampung Kulapis sebagai salah satu persiapan awal bagi menyemarakkan kedatangan bulan Ramadan 1444 Hijrah.
Imam Tingkat 1 di Masjid PeKA, Awang Abdul Najib Syazwan bin Shahrani ketika berucap berkata, “Kitani hendaklah menanamkan rasa keagungan dan kesyukuran kerana diizinkan Allah SWT untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadan yang mulia di samping mempersiapkan diri bagi memperbanyakkan lagi amal ibadah setibanya bulan Ramadan nanti.”
Katanya lagi, kita mestilah berusaha untuk melengkapkan diri dengan ilmu fiqh yang berkaitan dengan sah dan batalnya ibadah puasa termasuklah perkara-perkara yang boleh menghalang daripada diterimanya ibadah puasa yang ditunaikan.
