Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN/TEMBURONG, 3 NOV – Dalam keghairahan mengejar status kejayaan kendiri dan kemajuan negara, aspek akhlak dan nilai-nilai murni mestilah diberikan perhatian yang serius, baik bagi setiap individu mahupun organisasi terutamanya aspek kepimpinan.
Perkara itu antara yang diutarakan dalam tazkirah Subuh bertajuk ‘Amalan Mulia Kehidupan Bermasyarakat dan Bernegara Orang-orang Brunei’ sempena Program Masjidku Makmur, Negara Berkat minggu ini yang disampaikan oleh Pegawai Kakitangan Kanan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Haji Muhd Hairul Rizal bin Haji Awang Zaini di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.
Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Jaafar; Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B), Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; dan Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin.
Dalam tazkirahnya, Haji Muhd Hairul Rizal mengongsikan antara amalan-amalan cemerlang seperti menjaga hubungan dengan Allah, kepentingan menjaga solat, akibat mereka yang mencuai-cuaikan solat, amalan membaca Al-Quran setiap hari bagi kesejahteraan pembaca dan bagi keutuhan mental dalam menjalani kehidupan seharian, rahsia dan fadilat mengamalkan solat sunat Tahajud dan solat sunat Dhuha.
Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai menjaga hubungan baik bersama ibu bapa seperti adab bahasa yang dituturkan perlu dengan rasa hormat dan halus, mengambil berkat dengan menyedekahkan sebahagian gaji kepada mereka, memelihara silaturahim, mendoakan kesejahteraan mereka dan membalas jasa bakti keduanya dengan berlaku baik kepada mereka.


Tidak ketinggalan juga taat setia kepada raja dan negara dan banyak lagi.
Sementara itu tazkirah yang diadakan di Daerah Temburong mengutarakan tentang sumber rezeki bagi setiap orang yang tidak terbatas dalam bentuk wang ringgit, material atau harta benda semata-mata, tetapi rezeki juga meliputi kelapa-ngan waktu untuk membuat kebaikan dan amal ibadah kepada Allah SWT, kesihatan yang baik, hati yang tenang dan lapang, idea bernas dan bermanfaat, hatta kehidupan yang bahagia sekalipun.
Rezeki yang paling baik adalah rezeki yang dipenuhi dengan berkat iaitu rezeki yang walaupun sedikit tetapi mencukupi, manakala rezeki yang tidak baik adalah rezeki yang diperoleh dengan banyak, tetapi tidak mendatangkan manfaat, tidak pernah cukup dan tidak berkat.
Perkara itu antara yang di-sentuh dalam tazkirah bertajuk ‘Faedah Mencari Rezeki Yang Halal’ yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Haji Jamil bin Haji Ghani.
Hadir bersama-sama jemaah masjid ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dan ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) juga selaku Penghulu Mukim Bokok, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu.
Program tazkirah kendalian bersama Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Temburong dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar Temburong itu adalah untuk meningkatkan kehadiran jemaah dalam memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di masjid.