MELAKA, 27 FEB – Taman Buaya dan Rekreasi Melaka (TBRM), anak syarikat Kumpulan Artac menyasarkan 150,000 pelancong ke pusat pelancongan berkenaan tahun ini, berbanding 120,000 pelancong tahun lepas.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Artac Tan Sri Prof Dr Abdul Rahim Tamby Chik berkata jangkaan peningkatan kedatangan pengunjung ke pusat pendidikan, rekreasi dan budaya itu susulan pengenalan beberapa produk tarikan pelancongan baharu dan penambahbaikan kemudahan dilaksanakan di TBRM.
“Sebanyak 23,494 orang telah berkunjung ke TBRM dalam tempoh 1 Januari hingga 24 Februari lepas dan kita meletakkan sasaran 15,000 hingga 20,000 orang sebulan pada musim cuti persekolahan yang panjang.
“Antara tarikan baharu di TBRM ialah sangkar burung dikenali sebagai ‘Lovebird Paradise’ yang menempatkan 70 burung kakak tua bersaiz kecil daripada baka Afrika dan mempunyai pelbagai variasi warna bulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepasan Lovebird di sini hari ini yang turut dihadiri Pengurus Besar TBRM Ahmad Syarifuddin Mohamad.
Beliau berkata Burung Cinta atau Lovebird berkenaan tidak boleh dipelihara sesuka hati sebaliknya memerlukan lesen membeli, memelihara atau menyimpan haiwan berkenaan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.
Abdul Rahim berkata haiwan tersebut dibeli pada harga RM350 seekor dan TBRM menyasarkan lebih 500 ekor Lovebird dapat dibiakkan di dalam sangkar Lovebird Paradise berkenaan pada masa akan datang. – Bernama