Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    TDAFA kini miliki pejabat baharu

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Persatuan Bola Sepak Amatur Daerah Tutong (TDAFA) mengorak langkah yang bersejarah pada hari ini dengan pembukaan rasmi pejabat baharunya bertempat di Bangunan Haji Abdul Malik dan Anak-Anak di Kampung Petani, Tutong.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada pagi tadi ialah Presiden Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD), Pengiran Haji Matussin bin Pengiran Haji Matassan.

    Dalam ucapan alu-aluan Naib Yang Dipertua 1 TDAFA, Haji Takong bin Ahmad antara lain menjelaskan bahawa sebelum ini TDAFA sudah mempunyai pejabat sendiri yang dipinjamkan oleh Majlis Belia-Belia Daerah Tutong, namun disebabkan bilik tersebut diperlukan oleh Majlis Belia-Belia Daerah Tutong, pihak TDAFA menyerahkan kembali bilik tersebut kepada pihak berkenaan dan sejak itulah TDAFA tidak mempunyai pejabatnya sendiri.

    Haji Takong turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada NFABD khususnya kepada Presiden NFABD kerana memberi bantuan kepada TDAFA berbentuk buah fikiran, peralatan dan kewangan untuk merealisasikan TDAFA memiliki pejabat mereka sendiri pada hari ini.

    Beliau turut berharap semoga dengan adanya pejabat baharu tersebut dapatlah ahli jawatankuasa TDAFA menjalankan aktiviti-aktiviti, merancang pembangunan bola sepak Daerah Tutong khasnya dan pembangunan bola sepak di Negara Brunei Darussalam amnya.

    Sementara itu Pengiran Haji Matussin dalam ucapannya semasa majlis berkenaan turut berkesempatan memuji dan mengucapkan tahniah kepada TDAFA kerana mengambil langkah awal untuk mendapatkan ruang pejabatnya sendiri dan beliau berharap TDAFA terus bergiat aktif dengan lebih rancak lagi.

    NFABD dalam rancangan strategiknya untuk sama-sama mencapai dan menjayakan Wawasan 2035 berhasrat untuk mengembangluaskan lagi aktiviti-aktiviti bola sepak dalam negara ini semakin berkembang, bukan saja dalam hal ehwal pentadbir atau pengurus tetapi juga para pemain dan pasukan-pasukan dapat bersaing diperingkat yang lebih tinggi dan antarabangsa, ujar Presiden NFABD lagi.

    Sejurus selepas menyampaikan ucapan, beliau juga turut berkesudian merasmikan pejabat baharu TDAFA tersebut dengan disaksikan oleh para tetamu dan jemputan yang hadir pada acara berkenaan.

    Juga hadir pada majlis perasmian pejabat TDAFA pagi tadi ialah ahli-ahli Exco NFABD; ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi NFABD dan ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi TDAFA.

    Pengiran Haji Matussin ketika merasmikan pejabat baharu TDAFA di Kampung Petani Tutong, kelmarin.
    Sesi bergambar ramai selepas majlis perasmian pejabat TDAFA.
    Presiden NFABD selaku tetamu kehormat di majlis tersebut semasa memberikan ucapan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda