BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Skuadron Jurutera Tempur (SJT), Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) baru-baru ini memberikan bantuan dalam bentuk pembinaan laluan titian kayu bagi kegunaan penduduk kampung yang terjejas akibat bencana kebakaran di Kampung Bendahara Lama.
Keadaan laluan titian kayu yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk terutama kanak-kanak dan pelancong menjadi perhatian anggota yang ditugaskan bagi bantuan amal ini dan mula diperbaiki semenjak 28 Februari dan dijangka mengambil masa dua minggu untuk siap.
Bantuan kemasyarakatan ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan satu peranan TDDB khasnya bagi Projek ‘Hearts and Minds’ selain memupuk dan mengukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat.
