BERAKAS GARISON, 25 Ogos– Kejohanan Rentas Desa Askar Wanita Peringkat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bagi tahun 2017/2018 telah diadakan pada pagi tadi, bertempat di Mini Stadium, Berakas Garison.
Kejohanan Rentas Desa ini mempertandingkan dua kategori iaitu Kategori Individu 8-km Terbuka dan juga Kategori 8-km Berpasukan. Peserta dalam kejohanan tersebut terdiri daripada anggota-anggota Kementerian Pertahanan, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB).
Juara bagi Kategori Berpasukan dimenangi oleh TDDB, manakala tempat kedua dan ketiga disandang oleh Kementerian Pertahanan dan IL ABDB.
Hadiah-hadiah kepada para pemenang kejohanan telah disampaikan oleh Pegawai Turus Keanggotaan, Leftenan Kolonel Nooridah binti Haji Ibrahim, selaku tetamu kehormat majlis.
Kejohanan rentas desa ini merupakan acara tahunan yang bertujuan untuk meningkatkan lagi kekuatan jasmani dan kecergasan fizikal serta memupuk daya saing yang sihat antara anggota ABDB.