Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Teater dibom di Ukraine, Biden selar Putin

    KYIC, 17 MAC – Ukraine menuduh Rusia hari ini mengebom sebuah teater yang melindungi lebih 1,000 orang awam di bandar Mariupol, selepas Presiden AS, Joe Biden menggelar Vladimir Putin sebagai ‘penjenayah perang’.

    Serangan terbaharu ke atas orang awam di seluruh Ukraine berlaku ketika Presiden Volodymyr Zelensky membuat rayuan sengit untuk mendapatkan bantuan kepada AS, yang bertindak balas dengan menjanjikan AS$1 bilion senjata baharu untuk memerangi tentera penceroboh Rusia.

    Para pegawai di seluruh Ukraine sedang bergelut untuk mengira kematian orang awam – dengan pihak berkuasa berkata 103 kanak-kanak telah terbunuh sejak pencerobohan bermula – yang telah menjadi sasaran di rumah, hospital, ambulans dan barisan makanan.

    Di bandar pelabuhan Mariupol – di mana lebih 2,000 orang terkorban setakat ini – sebuah bom Rusia melanda Teater Drama, yang menurut pegawai majlis bandaran telah menempatkan lebih 1,000 orang.

    “Satu-satunya perkataan untuk menggambarkan apa yang berlaku hari ini ialah pembunuhan beramai-ramai, pembunuhan beramai-ramai negara kita, rakyat Ukraine kita,” kata datuk bandar, Vadim Boychenko dalam mesej video di Telegram.

    “Kami sukar memahami semua ini, kami enggan percaya, kami mahu menutup mata dan melupakan mimpi ngeri yang berlaku hari ini,” katanya.

    Imej satelit teater pada 14 Mac yang dikongsi oleh syarikat satelit swasta Maxar menunjukkan perkataan “kanak-kanak” dengan jelas terukir di tanah dalam bahasa Rusia di kedua-dua belah bangunan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...