CONGO, 13 APRIL – Di Taman Botani Kinshasa, Congo, terdapat sekumpulan haiwan yang terdiri daripada monyet, gorila, harimau bintang, zirafah sedang berdiri di suatu kawasan lapang sebelum kesemuanya mula bergerak perlahan-perlahan dan kemudiannya berlari masuk ke dalam hutan.
Begitulah antara babak permulaan The Herds, satu persembahan teater bergerak yang terdiri daripada haiwan boneka kadbod yang digerakkan oleh pengendali mereka yang berpakaian serba hitam.
Teater berkenaan sedang merancang untuk melanjutkan persembahan mereka dari Republik Demokratik Congo ke Bulatan Artik dalam usaha untuk meningkatkan perhatian orang ramai kepada krisis iklim.
Ceritanya mengisahkan bahawa bagaimana kumpulan haiwan berkenaan dipaksa keluar dari habitat semula jadi mereka kerana pemanasan global dan berpindah ke utara, berhenti di bandar di sepanjang jalan dan disertai oleh lebih banyak haiwan.
Sebahagian daripada taman botani berkenaan juga pernah mengalami banjir besar baru-baru ini yang menyebabkan separuh bandar tidak dapat diakses dan mengorbankan berpuluh-puluh mangsa.
Tragedi berkenaan turut memberi kesan kepada The Herds apabila acara utama yang dirancang di pusat Kinshasa pada hari Jumaat lalu telah dibatalkan kerana hujan lebat.
The Herds sebenarnya berasal daripada pengendali The Walk, satu persembahan pada 2021 menceritakan satu boneka gadis pelarian setinggi 12 kaki bernama Little Amal yang telah menarik perhatian umum tentang krisis pelarian.
Persembahan The Walk pula telah mengembara ke 15 negara seperti Turkiye, United Kingdom, Ukraine, Mexico dan juga Amerika Syarikat.
Tshoper Kabambi, seorang pembuat filem dan penerbit Congo, sedang mengusahakan The Herds sebagai karya terbaharunya dengan berkata matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan kesedaran.
“Alam semula jadi sangat penting kepada kita. Tetapi manusia mempunyai kecenderungan untuk mengabaikan alam semula jadi,” katanya. “Kami mahu meningkatkan kesedaran umum tentang semua yang sedang berlaku. Awda telah melihat banjir di seluruh dunia, pemanasan global, penebangan hutan.”
Amir Nizar Zuabi berada dalam pasukan itu dan kini pengarah artistik The Herds. Dia juga merupakan sebahagian daripada The Walk.
“Saya rasa salah satu impak besar projek ini adalah hakikat bahawa projek ini berlaku di 20 bandar berbeza,” katanya. “Ia akan melalui budaya yang berbeza, tempat yang berbeza, dan ia terkumpul. Dan ia akan menceritakan kisah Congo juga di Norway, kerana kami mempunyai rakan kongsi di mana-mana.”
The Herds akan singgah sebentar di Kinshasa, ibu kota Congo di Afrika tengah sebelum berpindah ke Lagos, Nigeria dan Dakar, Senegal untuk meneruskan persembahan mereka. – AP
