Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Teater muzikal pamer kreativiti pelajar ISB

    Oleh: Daniel Lim

    BELAIT, 30 JUN – Kerja berpasukan, dedikasi dan semangat oleh lebih 150 murid-murid telah menjayakan satu persembahan yang kreatif, berani dan penuh tenaga, menurut Pengetua Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif International School Brunei (ISB), Dominic Morley, ketika memberi ucapan semasa persembahan teater muzikal Alice in Wonderland di pentas Pusat Insani, Seria baru-baru ini.

    Adaptasi teater berkenaan yang menceritakan kisah Alice mengikuti seekor arnab putih ke dunia aneh yang dipenuhi dengan pengembaraan yang mempersonakan dihasilkan oleh kerjasama barisan pelakon utama pelajar dari Tahun 1 hingga Tahun 8, bersama penyanyi sokongan dan persembahan daripada pelajar dari kelas yang sama.

    Pengetua Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ISB, Dominic Morley, telah hadir bersama-sama ahli sokongan komuniti ISB Seria, termasuk ibu bapa dan ahli keluarga dan orang ramai untuk menikmati persembahan tersebut.

    Morley berkata, “Dari latihan hingga reka bentuk set, pakaian hingga pencahayaan, setiap perincian telah disatukan dengan teliti untuk menghasilkan persembahan yang benar-benar ajaib. Saya amat berbangga dengan pelajar dan kakitangan yang telah menjayakan persembahan ini.”

    Sementara itu, Ketua ISB Kampus Seria, Dariush Saheli menambah bahawa produksi luar biasa ini bukan sekadar persembahan, bahkan sebagai satu acara yang meraikan kreativiti, kerjasama dan semangat kemasyarakatan.

    “Daripada pelajar kami yang paling muda kepada pendidik yang paling berpengalaman, setiap satunya daripada ISB Seria telah menjadi hidup dengan tenaga, imaginasi dan dedikasi. Pelajar kami telah memberikan yang terbaik dalam persembahan mereka dan kakitangan kami telah bekerja tanpa jemu di belakang tabir untuk menghidupkan visi ini. Melalui semangat dan komitmen mereka, kami dapat mencipta satu persembahan yang ajaib dan bermakna.”

    Dariush Saheli menyampaikan ucapan.
    Dominic Morley berucap kepada penonton semasa persembahan berkenaan.

    Semua di atas: Antara babak dalam persembahan berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda